Sabtu, 15 Mei 2021 | 12:42pm
KKM sahkan kematian Haziq Kamaruddin bukan kerana vaksinasi.
KKM sahkan kematian Haziq Kamaruddin bukan kerana vaksinasi.

Kematian Haziq bukan kerana vaksinasi

KUALA LUMPUR: Hasil bedah siasat pemanah negara yang meninggal dunia, Haziq Kamaruddin hari ini didapati tidak menunjukkan punca kematiannya disebabkan vaksinasi COVID-19.

Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Zahari Noor berkata, setakat ini, bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis (coronary artery atherosclerosis).

"Kematian mengejut Allahyarham Haziq Kamaruddin, atlet pemanah negara yang dibawa ke Hospital Kajang semalam telah disiasat di bawah Sudden Death Report (SDR) oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di mana arahan bedah siasat telah dikeluarkan untuk menentukan sebab kematian.

"Proses bedah siasat selesai dilakukan setelah calitan ujian COVID-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus berkenaan. Hasil bedah siasat menunjukkan kepada kematian akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis (coronary artery atherosclerosis).

"Walaubagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa keputusan analisa makmal. Namun sehingga kini tiada bukti menunjukkan bahawa kematian ini adalah berkaitan langsung dengan vaksinasi COVID-19," kata Zahari dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Allahyarham, 27, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat, Merlimau kira-kira 1.40 pagi, semalam selepas selesai disolatkan di Surau Al-Taqwa di kampung berkenaan dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Antara yang turut mengiringi jenazah adalah isteri Allahyarham Shahira Abdul Halim dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Pemanah berasal dari Johor itu pernah mewakili negara ke temasya Olimpik sebanyak dua kali, iaitu di London 2012 serta Rio 2016 dan kini sedang mengejar slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Berita Harian X