X
Jumaat, 14 Mei 2021 | 7:02pm
Jurulatih kebangsaan, Lee Jae Hyung (kanan) bersama pemanah negara, Haziq Kamaruddin pada temasya Sukan SEA 2017. - Foto ihsan stadiumastro.
Jurulatih kebangsaan, Lee Jae Hyung (kanan) bersama pemanah negara, Haziq Kamaruddin pada temasya Sukan SEA 2017. - Foto ihsan stadiumastro.

'Dia kata nak cuba layak ke Olimpik Tokyo'

KAJANG: Impian untuk meraih pingat di Sukan Olimpik Tokyo adalah antara harapan diletakkan pemanah negara, Haziq Kamaruddin yang meninggal dunia secara mengejut, semalam.

Perkara itu dimaklumkan jurulatih Allahyarham, Lee Jae-hyung yang sehari sebelum sambutan Aidilfitri sempat menjalani latihan bersamanya.

"Dia ada kata nak cuba yang terbaik untuk layak ke Olimpik Tokyo tahun ini. Dia kata nak cuba dapatkan pingat dan lakukan yang sebaik mungkin," katanya.

Haziq, 27, difahamkan bakal menyertai beberapa kejohanan kelayakan antaranya ke Paris pada bulan depan bersama pasukan recurve lelaki dalam memburu satu daripada tiga slot ditawarkan ke Olimpik Tokyo.

Untuk rekod, Allahyarham pernah mewakili kontinjen negara di Olimpik London 2012 dan Rio 2016 namun tidak berjaya meraih pingat di temasya sukan terbesar dunia itu.

Haziq pernah meraih pingat perak di siri Kejohanan Dunia masing-masing di Shanghai 2011 dan Medellin 2013 selain dua gangsa di Salt Lake City 2017 dan 2018.

Allahyarham turut pernah meraih perak dalam acara recurve berpasukan lelaki di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan 2014.

Berita Harian X