Jumaat, 14 Mei 2021 | 6:33pm
 Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tiga dari kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada sidang media selepas bertemu balu Allahyarham atlet pemanah negara, Haziq Kamaruddin, Shahira Abdul Halim di Hospital Kajang, petang tadi. Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan). - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tiga dari kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada sidang media selepas bertemu balu Allahyarham atlet pemanah negara, Haziq Kamaruddin, Shahira Abdul Halim di Hospital Kajang, petang tadi. Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan). - Foto NSTP/Owee Ah Chun.

MOM sifatkan pemergian Haziq satu kehilangan mengejutkan

KAJANG: Satu kehilangan yang mengejutkan. Itu kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengenai pemergian wira negara dalam sukan memanah, Haziq Kamaruddin yang meninggal dunia secara tiba-tiba, pagi tadi.

Norza yang sempat menziarah keluarga arwah di unit forensik Hospital Kajang petang ini berkata, pihaknya sentiasa menghargai jasa Allahyarham untuk negara sepanjang kariernya dalam bidang sukan.

"Bagi pihak MOM, kami mengucapkan rasa dukacita dan setinggi-tinggi takziah kepada isteri Haziq serta keluarga atas kehilangan yang sangat mengejutkan ini," katanya.

"Saya selalu mengatakan, tanpa atlet siapalah kita sebagai pentadbir sukan. Sebagai atlet mereka yang berada dalam industri sukan, inilah wira. Mereka inilah tanpa komplen, tanpa berputus asa sentiasa ada untuk memperjuangkan Jalur Gemilang ataupun maruah negara.

"Sebab itu saya katakan, sama seperti saya katakan ketika memulakan proses melobi untuk mendapatkan (skim) pencen kepada atlet Olimpik. Inilah antara perkara yang selalu dikatakan.

"Mereka ini adalah sekumpulan atlet yang banyak berjuang. Beliau pernah berada di Sukan Olimpik sebanyak dua kali dan sedang berusaha menuju kelayakan Olimpik Tokyo. Beliau seorang atlet senior, walaupun masih muda namun sudah banyak berjuang untuk negara."

Haziq menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.37 pagi di Hospital Kajang selepas dikejarkan ke sana apabila dilaporkan menggigil dan tidak sedarkan diri di rumahnya di sini.

Allahyarham, 27, juga difahamkan bakal ke Paris pada bulan depan bersama pasukan recurve lelaki dalam memburu satu daripada tiga slot ditawarkan ke Olimpik Tokyo.

"Tentu saya ia sedikit sebanyak memberi impak negatif daripada sudut emosi kepada atlet. Sebagaimana kita sedia maklum, atlet kita sentiasa meletakkan kepentingan negara mendahului kepentingan diri.

"Saya harap, kita semua dapat bersabar dengan dugaan yang harus ditempohi ini. Harap atlet dapat doakan yang terbaik buat allahyarham dan kita semua akan memikirkan langkah selanjutnya untuk melihat proses kelayakan seterusnya," kata Norza.

Jenazah Allahyarham difahamkan dijangka disemadikan di Merlimau, Melaka pada pagi esok selepas urusan termasuk bedah siasat selesai dilakukan.

Berita Harian X