Jumaat, 14 Mei 2021 | 6:21pm

'Tolong hormati perasaan ahli keluarga Haziq'

KAJANG: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memohon semua pihak tidak mengaitkan pemergian atlet memanah negara, Haziq Kamaruddin hari ini dengan suntikan vaksin COVID-19.

Reezal yang meluangkan masa menziarah keluarga mangsa di Hospital Kajang di sini, berkata, tindakan segelintir pihak itu sememangnya tidak bertanggungjawab apatah lagi ketika keluarga mangsa masih terkesan dengan pemergian Allahyarham secara mengejut pada 9.37 pagi itu.

"Hormati perasaan ahli keluarga dulu," kata Reezal yang turut menerima suntikan vaksin kali kedua pada 4 Mei lalu. "Arwah divaksinkan sama dengan saya, divaksinkan dalam bulan April pun (suntikan pertama) sama.

"Kali kedua pada 4 Mei, maknanya 10 hari lalu. Sejak divaksinkan, semua atlet berada di bawah pemantauan rapi oleh semua kakitangan Institut Sukan Negara (ISN), malah mereka ambil RTK (rapid test kit antigen) kali kedua pada 11 Mei dan daripada ujian itu negatif.

"Saya tak mahu membuat apa-apa andaian. Saya fikir amat tak bertanggungjawab dan saya merayu di luar sana, sekurang-kurangnya hormat dan ada perasaan rahmah kepada keluarga arwah.

"Keluarga arwah, mereka redha. Isterinya rasa sedih tetapi menganggap ini adalah satu fitrah daripada Allah SWT. Kita terima tetapi janganlah besar-besarkan perkara yang tak betul. Bedah siasat masih dilakukan dan sebarang dapatan itu akan dimaklumkan nanti."

Haziq, 27, menerima suntikan kali pertama menerusi program imunisasi COVID-19 kebangsaan pada 13 April lalu sebelum melengkapkan dos kedua pada 4 Mei.

"Tapi pada waktu ini, boleh saya katakan semua 264 sudah divaksinkan pada hari yang sama (suntikan pertama). Saya sendiri dan lebih 242 (individu) divaksin buat kali kedua sebab ada atlet terjun yang tak dapat pulang bersama pada waktu itu, setakat ini tak ada (kesan).

"Seandainya kita nak buat kesimpulan apa pun, tunggulah biar bedah siasat (selesai). Bedah siasat juga saya mohon dipercepatkan. Yang penting doakan kekuatan untuk keluarga dan isteri beliau yang kehilangan suami dalam tempoh perkahwinan singkat. Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab," kata Reezal.

Dalam pada itu, Reezal turut menzahirkan rasa dukacita terhadap pemergian Allahyarham yang disifatkannya sudah banyak menabur bakti kepada negara.

"Beliau seorang atlet yang mempunyai jasa dan bakti cukup tinggi. Pada peringkat awal, beliau menyertai program di Johor pada 2008 dan kemudian menyertai program elit pada 2012.

"Penyumbang pingat emas di Sukan SEA dan kejohanan memanah dunia... dua kali pingat perak dan yang terbaru sekali gangsa di (kejohanan) Salt Lake di Amerika Syarikat (2018).

"Pemergian Allahyarham ini adalah satu kehilangan kepada sukan negara kerana beliau juga dijadual menyertai kejohanan untuk mendapatkan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo di Korea," kata Reezal mengenai pemergian Allahyarham yang pernah mewakili negara di Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016 itu.

Allahyarham dijangka dikebumikan di Merlimau, Melaka selepas urusan bedah siasat selesai.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kiri) bertemu balu Allahyarham Haziq Kamaruddin, Shahira Abdul Halim (dua kanan) ketika hadir di bilik mayat Hospital Kajang hari ini. Turut hadir Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tiga dari kiri), Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (lima dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Md Ramli (empat dari kiri). - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kiri) bertemu balu Allahyarham Haziq Kamaruddin, Shahira Abdul Halim (dua kanan) ketika hadir di bilik mayat Hospital Kajang hari ini. Turut hadir Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tiga dari kiri), Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (lima dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Md Ramli (empat dari kiri). - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Berita Harian X