Khamis, 13 Mei 2021 | 5:05pm
Farah Ann mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua.
Farah Ann mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua.

Farah Ann 'panas badan' di Mesir

KUALA LUMPUR: Ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi akan kembali memperagakan aksinya apabila bakal menyertai saingan Cabaran Piala Dunia FIG di Cairo, Mesir bermula 3 hingga 6 Jun ini.

Atlet berasal dari Selangor berusia 27 tahun itu berkata, kejohanan berkenaan dianggap sebagai aksi pemanas badan bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang membuka tirai bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

"Tiada sebarang sasaran khusus, saya hanya mahu melakukan yang terbaik selepas lebih setahun tidak menyertai sebarang kejohanan. Saya mahu mendapatkan semula suasana beraksi dalam kejohanan.

"Saya bersyukur dapat juga menyertai kejohanan di Mesir ini kerana sebelum ini memang tiada kejohanan langsung. Ini akan menjadi sebahagian persiapan untuk ke Sukan Olimpik nanti," katanya.

Farah Ann meraih slot ke Olimpik Tokyo 2020 apabila mempamerkan aksi cemerlang di Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik di Stuttgart, Jerman selepas mengutip 49,898 mata pada pusingan kelayakan, sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun gimnas negara layak ke temasya terbesar dunia itu.

Dia menjadi gimnas ketiga negara menempah tiket ke Olimpik apabila selepas kali terakhir gimnas lelaki, Ng Shu Wai beraksi pada Sukan Olimpik 2004 di Athens. 

Seorang lagi gimnas wanita negara yang pernah ke pentas Olimpik ialah Au Li Yen pada Olimpik 2000 di Sydney.

Farah Ann yang sudah pun melengkapkan dos kedua vaksin COVID-19 awal bulan ini, berkata dia kini lebih yakin bagi melakukan persiapan untuk ke Sukan Olimpik.

"Kini, saya rasa lebih dilindungi selepas melengkapkan dos kedua vaksin ini. Saya berasa lebih yakin untuk menjalani latihan dan paling penting rasa lebih selamat untuk ke luar negara," katanya.

Berita Harian X