Selasa, 4 Mei 2021 | 8:31pm
Khairul minta MOM pertimbangkan semula pemilihannya sebagai pembawa Jalur Gemilang di Olimpik Tokyo.
Khairul minta MOM pertimbangkan semula pemilihannya sebagai pembawa Jalur Gemilang di Olimpik Tokyo.

Khairul dalam dilema bawa Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR: Atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad meminta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menilai semula pemilihannya sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo yang akan bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Katanya, agak sukar untuk dia menggalas tanggungjawab berkenaan ketika acara memanah turut akan membuka tirai saingannya pada 23 Julai iaitu hari yang sama upacara perasmian temasya terbesar dunia itu dijadual berlangsung.

"Sebagai atlet, sudah pasti saya berasa bangga kerana dipilih sebagai pembawa bendera, ini adalah satu penghormatan kepada saya kerana diberi kepercayaan untuk memikul tugas itu.

"Namun, bagi saya pihak MOM perlu menilai semula kerana jika pasukan wanita turut layak ke Olimpik dan saya pula berada di kedudukan teratas dalam pasukan ketika di Tokyo nanti, saya akan beraksi dalam saingan berpasukan campuran yang dijadual pada 24 Julai.

"Berdasarkan pengalaman, upacara perasmian pastinya akan berakhir lewat dan saya pula jika perlu beraksi dalam acara berpasukan campuran perlu untuk bersedia dan mendapat rehat secukupnya," katanya kepada BH Sukan.

Setakat ini, Khairul Anuar, 29, sudah pun melayakkan diri dalam acara recurve individu selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Dunia 2019 di Belanda.

Dia bagaimanapun optimis pasukan lelaki negara turut akan layak apabila mereka beraksi pada saingan Piala Dunia di Paris, bulan depan yang menjadi medan terakhir memburu tiket ke Olimpik Tokyo.

Mengikut jadual yang dikeluarkan di laman web rasmi Tokyo 2020, acara memanah yang berlangsung di Padang Memanah Yumenoshima Park akan membuka tirai pada 23 Julai untuk aksi pusingan ranking individu lelaki dan wanita.

Pusingan kelayakan bagi acara berpasukan campuran pula akan berlangsung keesokannya.

Terdahulu, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan pemilihan Khairul Anuar dan pemain badminton beregu campuran, Goh Liu Ying sebagai pembawa Jalur Gemilang di Tokyo pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM ke-26 di Wisma MOM di sini, semalam.

Berita Harian X