Selasa, 4 Mei 2021 | 3:57pm
Reezal Merican
Reezal Merican

Azizulhasni, Shah Firdaus terima vaksin di Malaysia

KUALA LUMPUR: Atlet berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom dijadual pulang ke tanah air, awal bulan depan dengan kedua-duanya bakal menerima suntikan vaksin di bawah program imunisasi COVID-19 kebangsaan.

Hari ini, seramai 242 atlet dan pegawai yang terbabit dengan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 menerima dos kedua vaksin COVID-19 dan baki penerima dijadual selesai dalam bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut melengkapkan pengambilan vaksin berkata, kedua-dua pelumba yang masih berada di Melbourne, Australia itu dijadual pulang ke tanah air dengan urusan pengambilan vaksin sudah dibincangkan bersama.

"Pada waktu sekarang, saya melihat yang nak ke Tokyo ini, semuanya wajar dan patut berada dalam ini (program imuninasi COVID-19) akan menerima vaksin sebelum pergi dan tak ada yang terkecuali termasuk Azizulhasni dan Shah Firdaus yang masih berada di Melbourne.

"Mereka sudah berurusan dan berhubung dengan saya, ketika mereka pulang awal Jun ini, mereka akan divaksinkan. Ertinya, kalau mereka menerima suntikan pertama pada 1 Jun, pada 21 atau 22 Jun mereka sudah divaksin kali kedua.

"Ini juga bermakna, pada akhir Jun semua sudah menerima vaksin kedua," kata Reezal kepada media selepas Program Imuninasi COVID-19 Kebangsaan Kementerian Belia dan Sukan di Kompleks Sukan DBKL, Taman Desa Tasik, di sini, hari ini.

Dos pertama bagi atlet dan pegawai diterima pada 13 April lalu, menyaksikan rakan seperjuangan Azizulhasni dan Shah Firdaus, Muhammad Fadhil Muhammad Zonis menjadi atlet pertama dalam negara menerima suntikan vaksin COVID-19.

Ditanya mengenai kelancaran program yang berlangsung semalam, Reezal berkata, ia berlangsung dengan baik.

"Semua katakan tak ada kesan teruk. Saya rasa kelompok pertama ini menerima suntikan kedua dengan selamat dan cuma perlu diawasi selama sehari (semalam) kerana ada yang mengatakan dos kedua ini berbeza (kesan) berbanding dos pertama. Apapun, mereka akan terus dipantau," kata Reezal.

Berita Harian X