Isnin, 3 Mei 2021 | 12:21pm
Bekas pelumba basikal trek kebangsaan, Rosman Alwi. - Foto ihsan Twitter
Bekas pelumba basikal trek kebangsaan, Rosman Alwi. - Foto ihsan Twitter

Rosman yakin Azizuhasni mampu raih emas di Tokyo

KUALA LUMPUR: Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang diyakini mampu merealisasikan impian rakyat Malaysia bagi memenangi pingat emas sulung pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Keyakinan itu disuarakan bekas pelumba basikal trek kebangsaan, Rosman Alwi berdasarkan prestasi semasa dan persiapan rapi yang dilakukan 'The Pocket Rocketman' di bawah bimbingan John Beasley bagi menghadapi temasya terbesar dunia itu.

Azizulhasni yang berpangkalan di Melbourne, Australia sudah pun melayakkan diri ke Tokyo bagi acara keirin dan pecut individu.

Rosman yang beraksi pada Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles dan 1988 di Seoul, berkata beliau sentiasa mengikuti perkembangan pelumba berusia 33 tahun itu dan percaya Azizulhasni di landasan tepat untuk meraih emas di Tokyo.

"Walaupun kita sekarang sedang dilanda pandemik COVID-19, namun saya tahu Azizulhasni tidak pernah berhenti berlatih di bawah bimbingan Beasley.

"Berdasarkan prestasi semasa termasuklah pencapaian yang dia raih dalam kejohanan baru-baru ini (Australia), insya-Allah peluang untuk menang emas itu ada…saya positif.

"Saya lihat dia kini dikemuncak prestasi. Berbaki dua bulan sebelum Sukan Olimpik bermula, kalau dia betul-betul fokus, insya-Allah tercapai cita-cita dia nanti," kata Rosman ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kepada bekas atlet kebangsaan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, semalam.

Sejak Disember tahun lalu, Azizulhasni yang juga juara dunia keirin 2017 sudah mula membuktian dia bakal hadir di Tokyo sebagai pencabar utama bagi memburu kilauan emas untuk acara keirin dan pecut individu menerusi kejayaanya memenangi emas dan perak dalam beberapa kejohanan domestik di Australia.

Pada penampilan di Sukan Olimpik Rio 2016, Azizulhasni mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba basikal trek pertama memenangi pingat pada temasya terbesar dunia itu dengan meraih gangsa dalam acara keirin.

Dalam pada itu, Rosman percaya rakan sepasukan Azizulhasni, Shah Firdaus Sahrom yang layak beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo dalam acara pecut individu turut berpotensi untuk menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

"Shah Firdaus ini kita boleh anggap dia sebagai pelapis kepada Azizulhasni. Dia juga ada potensi, saya percaya mereka saling bantu-membantu antara satu sama lain," katanya.

Berita Harian X