Selasa, 13 April 2021 | 5:29pm
Pegawai KKM (tengah, berdiri) memberi taklimat kepada atlet dan pegawai ketika sesi pemerhatian selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 KBS di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras. - Foto BERNAMA
Pegawai KKM (tengah, berdiri) memberi taklimat kepada atlet dan pegawai ketika sesi pemerhatian selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 KBS di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras. - Foto BERNAMA

Fadhil akui lebih yakin, selamat selepas terima vaksin

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal trek negara, Muhammad Fadhil Zonis mengakui dia kini lebih yakin dan selamat untuk menyertai kejohanan di luar negara selepas menerima suntikan vaksin COVID-19, hari ini.

Atlet berusia 24 tahun itu, berkata dia akan menyertai kejohanan basikal trek Piala Negara-Negara di Hong Kong yang akan berlangsung pada 13 hingga 16 Mei depan - kejohanan pertamanya selepas setahun tidak beraksi dalam saingan kompetitif akibat pandemik COVID-19.

"Alhamdulillah dapat vaksin ini...jadi, saya akan pergi ke Hong Kong dalam keadaan selamat dan terlindung. Ini adalah kejohanan pertama selepas setahun dan sepanjang latihan saya nampak ada peningkatan prestasi.

"Sasaran saya adalah membuat yang terbaik bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia pada September depan. Saya akan beraksi dalam tiga acara iaitu pecut, keirin dan 1 kilometer (km). Namun, fokus saya adalah 1km," katanya.

Terdahulu, Fadhil menjadi atlet pertama negara yang menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhil mengakui rindu untuk berlatih bersama Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom di Melbourne, Australia selepas setahun terpisah akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak awal tahun lalu.

Katanya, dia bersedia untuk kembali ke Melbourne untukberlatih di bawah bimbingan John Beasley pada bila-bila masa sekiranya mendapat lampu hijau.

"Sebelum ini kami sudah biasa berlatih bersama...jadi, memang rindu sangat.

"Saya sendiri tidak pasti bila dapat kembali ke Melbourne kerana pintu sempadan Australia masih lagi ditutup. Namun, saya memang sentiasa bersedia untuk kembali ke sana pada bila-bila masa sekiranya dibenarkan," katanya.

Berita Harian X