Isnin, 12 April 2021 | 3:46pm
Atlet dan pegawai yang terbabit dengan Sukan Olimpik serta Paralimpik terima vaksin esok.
Atlet dan pegawai yang terbabit dengan Sukan Olimpik serta Paralimpik terima vaksin esok.

264 atlet, pegawai disuntik vaksin esok

KUALA LUMPUR: Seramai 264 orang atlet dan pegawai yang terbabit dengan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 akan menerima suntikan vaksin COVID-19, esok.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, menterinya, Datuk Seri Reezal Merican turut dijadual menerima suntikan vaksin bersama atlet negara.

Katanya, suntikan vaksin berkenaan akan dilakukan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras.

"Aspek persiapan berkenaan (Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo) merangkumi pemberian vaksin kepada atlet dan pegawai yang terbabit serta program yang diatur khas oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

"Meskipun temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik ditangguhkan pada tahun lalu akibat penularan pandemik COVID-19, KBS sudah melaksanakan pelbagai pendekatan dan perancangan termasuk pelaksanaan latihan atlet melalui gelembung sukan bagi memastikan semua atlet dalam keadaan terbaik dan mampu beraksi dengan cemerlang di arena antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, kenyataan berkenaan memaklumkan Reezal juga akan melancarkan 'countdown' Detik 100 Hari ke Tokyo di Kompleks MSN Bukit Jalil, Rabu ini.

"Detik 100 hari ke Tokyo ini akan digerakkan ke seluruh negara termasuklah Program Jelajah Road to Tokyo 2020 yang bertujuan untuk mendapatkan sokongan masyarakat serta membangkitkan semangat atlet yang akan berjuang di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020," katanya.

Program jelajah secara kayuhan basikal yang akan bermula dan berakhir di Bukit Jalil sempena majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Tokyo 2020 pada Julai itu, akan diwakili oleh lima individu dari setiap negeri dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sukan dan rekreasi yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Reezal juga bakal melancarkan laman web rasmi Road to Tokyo 2020 sebagai platform hebahan maklumat berkaitan kontinjen negara serta memperkenalkan identiti kontinjen negara meliputi slogan, lagu dan sorakan pasukan kebangsaan.

Berita Harian X