Selasa, 30 March 2021 | 5:15pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) di pelancaran program 'Beyond Coaching' Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) di Institut Sukan Negara, Kuala Lumpur. - Foto ihsan fb Reezal Merican Naina Merican.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) di pelancaran program 'Beyond Coaching' Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) di Institut Sukan Negara, Kuala Lumpur. - Foto ihsan fb Reezal Merican Naina Merican.

KBS sedia bantu Azizulhasni, Shah dapat suntikan vaksin

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia untuk menguruskan suntikan vaksin COVID-19 bagi prospek emas di Sukan Olimpik Tokyo, Azizulhasni Awang dan rakan seperjuangannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang kini berada di Australia.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, seandainya dalam tempoh tertentu kedua-dua atlet berprestasi tinggi berkenaan masih belum menerima suntikan, pihaknya akan memastikan mereka mendapatkannya di negara ini.

"Azizulhasni kita akan uruskan vaksin di sana kerana kebanyakan negara mengamalkan vaksin untuk semua. Sekiranya beliau menerima vaksin di sana, maka tak perlu di sini. Namun seandainya dalam tempoh tertentu tak dapat vaksin di sana, saya akan memasukkan nama mereka untuk divaksinkan di sini.

"Itu semua bergantung kepada waktu paling awal (bilakah) mereka boleh dapat di sana. Namun, saya belum menerima sebarang maklumat lagi mengenai jadual vaksin untuk Azizulhasni, Shah dan jurulatih di sana," kata Reezal kepada media selepas majlis pelancaran program 'Beyond Coaching' Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Hujung Februari lalu, Reezal mengumumkan seramai 264 atlet dan pegawai yang akan mewakili negara ke kejohanan antarabangsa dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo menerima suntikan vaksin COVID-19 bermula April ini.

Ia adalah kumpulan pertama daripada keseluruhan 4,000 atlet dan pegawai dalam senarai KBS untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama.

Katanya, semua 264 individu itu akan mendapatkan suntikan dos kedua pada Mei sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk kembali bertanding di peringkat antarabangsa.

"Saya sudah maklumkan yang kita kemukakan 4,000 tetapi kita dahulukan senarai 264 ini. Semalam (kelmarin), saya sempat bertemu Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), memohon tarikh dalam April ini.

"Kita sudah diberi masa pada April tetapi belum menerima tarikh sebenarnya kerana kita juga perlu melihat kepada jadual bekalan vaksin," katanya.

Sementara itu, Program Beyond Coaching AKK diwujudkan bagi memperkenalkan beberapa inisiatif baharu AKK, ISN dalam menjadi hub Pendidikan Kejurulatihan Sukan Kebangsaan yang lebih tersusun dan bersistematik.

Reezal turut menyambut baik Pengenalan Program Women Can Coach yang mana ia adalah satu program khas bagi meningkatkan pembabitan wanita dalam bidang kejurulatihan sekali gus menyahut kempen KBS dalam memperkasakan peranan wanita dalam ekosistem sukan negara.

Berita Harian X