Jumaat, 26 Februari 2021 | 4:36pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tiga dari kanan) ketika melawat kemudahan dan aktiviti sukan sekitar Shah Alam, baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tiga dari kanan) ketika melawat kemudahan dan aktiviti sukan sekitar Shah Alam, baru-baru ini.

264 atlet, pegawai terima suntikan vaksin mulai April

PUTRAJAYA: Seramai 264 atlet dan pegawai yang akan mewakili negara ke kejohanan antarabangsa dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 bermula April ini.

Ia adalah kumpulan pertama daripada keseluruhan 4,000 atlet dan pegawai dalam senarai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjangkakan pada Mei ini, semua 264 individu itu akan mendapatkan suntikan dos kedua sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk kembali bertanding di peringkat antarabangsa.

"Kami mengharapkan sekurang-kurangnya pada Mei ini, 264 akan berjaya divaksin. Maknanya mereka sudah disuntik dua dos vaksin supaya setibanya bulan Julai, mereka berada dalam keadaan yang boleh menyertai (kejohanan) dan bebas COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Perkongsian antara Techninier Sdn Bhd dan Impact Integrated di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata meskipun Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tidak mewajibkan suntikan vaksin COVID-19 untuk Sukan Olimpik Tokyo, pengambilannya dilihat mampu menjamin keselamatan serta tahap kesihatan atlet.

Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk menerima suntikan vaksin itu adalah bersifat sukarela.

"Pengambilan vaksin adalah secara sukarela. Kami sediakan jika mereka (atlet) ingin divaksin dan terdapat beberapa prosedur serta borang perlu diisi, tetapi seperti disebut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini percuma dan secara sukarela, bukannya wajib.

"Saya yakin semua atlet akan memilih untuk divaksin kerana ia satu perkara yang memberi kedudukan mereka jauh lebih selamat," katanya.

Minggu lalu, KBS mengesahkan senarai nama 4,000 atlet dan pegawai diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin COVID-19, dihantar sendiri kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin COVID-19 selepas kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba di tanah air, Ahad lalu.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

- BERNAMA

Berita Harian X