X
Isnin, 15 Februari 2021 | 8:01pm
Azizulhasni meraih gangsa di Sukan Olimpik Rio 2016.
Azizulhasni meraih gangsa di Sukan Olimpik Rio 2016.

Azizulhasni miliki ramuan terbaik raih emas

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) percaya juara dunia 2017, Mohd Azizulhasni Awang berada di landasan tepat untuk merealisasikan impian pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.

Pengurus pasukan berbasikal ke Olimpik Datuk Ashakari Abu Noor berkata 'The Pocket Rocketman' itu memiliki ramuan terbaik untuk muncul juara Olimpik, sekali gus menamatkan penantian emas pertama negara di temasya sukan terbesar dunia tersebut.

"Di atas kertas, Mohd Azizulhasni berpeluang cerah untuk menang pingat emas. Beliau boleh menguasai mana-mana acara sama ada sprint ataupun keirin.

"Sebagaimana yang kita tahu, pelumba ternama Australia seperti Matthew Glaetzer memang sangat kuat. Tapi Mohd Azizulhasni berjaya tewaskan beliau pada Kejohanan Trek Kebangsaan Australia, Disember lalu.

"Ini menunjukkan Mohd Azizulhasni sudah bersedia untuk menguasai acara sprint atau keirin di Olimpik Tokyo. Saya berasa yakin beliau akan menghadiahkan emas Olimpik pertama kepada rakyat Malaysia," kata Ashakari dalam kenyataan hari ini.

Ashakari yang pernah menjadi pengurus pasukan ke Kejohanan Lumba Basikal Asia 2009 di Kalimantan, Indonesia dan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, berkata PKBM sentiasa memantau prestasi semasa pelumba ranking nombor satu dunia acara pecutan (sprint) bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya Mohd Azizulhasni mempunyai pengalaman sangat luas termasuk tiga kali beraksi di Olimpik, memiliki kekuatan dalaman serta ranking dunia, selain memiliki kematangan ketika berlumba dan kebijaksanaan menilai serta mengatasi prestasi pesaing dari Eropah, Britain, Australia atau Jepun.

Beliau menegaskan Mohd Azizulhasni juga memiliki sedikit kelebihan kerana pernah berlumba di Velodrome Trek Izu dekat Tokyo beberapa kali sebelum ini.

"Gara-gara pandemik COVID-19, ramai pelumba yang tidak dapat sertai kejohanan besar. Mereka berlatih tapi tidak sertai kejohanan besar. Di sinilah berlaku banyak andaian, tapi saya percaya Mohd Azizulhasni memiliki banyak kelebihan berbanding pelumba lain.

"Kali terakhir saya menghubunginya ialah pada Sabtu lepas. Beliau memerlukan sokongan padu semua rakyat Malaysia dan mahu semua pihak mendoakan agar persiapan beliau berjalan lancar serta berpeluang untuk menang pingat emas di Olimpik Tokyo nanti," katanya.

Mohd Azizulhasni yang bakal tampil buat kali keempat di temasya Sukan Olimpik selepas Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, kini di ranking pertama sprint dan kedua keirin berdasarkan kemas kini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) baru-baru ini. - BERNAMA

Berita Harian X