X
Sabtu, 6 Februari 2021 | 10:14pm
Gambar lama Azizulhasni sambil memegang buku berkenaan Olimpik Sydney 2000 yang dibelinya di pasar Ahad Melbourne, Australia pada 2007. - Foto ihsan FB Azizulhasni.
Gambar lama Azizulhasni sambil memegang buku berkenaan Olimpik Sydney 2000 yang dibelinya di pasar Ahad Melbourne, Australia pada 2007. - Foto ihsan FB Azizulhasni.

Azizulhasni kongsi kisah capai impian ke Olimpik

KUALA LUMPUR: Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang mendedahkan dia mula memasang impian beraksi di pentas Sukan Olimpik selepas membeli buku terpakai kompilasi cerita dan gambar Olimpik Sydney 2000 yang berharga AUD$5 (RM15).

Berkongsi kisah itu menerusi hantaran pada akaun Facebook miliknya, hari ini, pelumba berusia 33 tahun itu berkata semuanya bermula sekitar pertengahan 2007 ketika dihantar ke Melbourne, Australia bagi menjalani latihan bersama skuad elit di bawah bimbingan John Beasley.

"Suatu hari di hujung minggu, saya pergi ke 'Sunday Market' (Pasar Ahad) sekitar Melbourne, bukanlah untuk membeli apa-apa pun tetapi sekitar untuk cuci mata tengok barang-barang yang dijual serta suasana kemeriahan pasar berkenaan.

"Pusing punya pusing sekali ternampak ada orang jual buku-buku terpakai. Saya bukanlah ulat buku, tetapi saya suka buku dan bahan bacaan. Saya pun tercegat di hadapan itu sambil meneliti buku-buku yang terhidang untuk orang yang lalu-lalang.

"Tidak lama selepas itu, mata saya tergoda oleh satu nashkah yang agak tebal dan gambar kulit hadapannya sahaja sudah cukup membuatkan saya jatuh hati. Saya buka nashkah berkenaan lalu saya selak sehelai demi sehelai. Setiap selakan membuatkan saya terpegun, kagum, dan kecanduan.

"Cerita, potret yang terpapar serta maklumat dalam nashkah berkenaan cukup sinonim dengan kemahuan saya, kehendak dan mungkin sebuah cita-cita dari seorang anak kampung berasal dari Dungun, Terengganu pada ketika itu," katanya.

Juara dunia acara keirin pada 2017 itu, berkata dia kemudiannya bertanyakan harga kepada penjual buku berkenaan bagi membelinya dan membayarnya menggunakan duit syiling yang dikumpul bagi membayar letak kenderaan di Melbourne.

"Kompilasi cerita dan gambar dari Sukan Olimpik Sydney 2000. Itulah tajuk nashkah terpakai yang saya beli dengan duit syling yang saya simpan untuk membayar 'parking' di kota Melbourne.

"Dengan penuh kegembiraan saya beransur pulang sambil memasang impian dan cita-cita untuk beraksi di Sukan Olimpik suatu hari nanti," katanya.

Setahun kemudian, Azizulhasni berjaya merealisasikan cita-citanya apabila membuat penampilan pertama di pentas Sukan Olimpik pada edisi 2008 di Beijing.

Penampilan ketiga pada temasya terbesar dunia itu lebih istimewa apabila dia mencipta sejarah menjadi pelumba basikal pertama negara meraih pingat selepas memenangi gangsa dalam acara keirin pada Olimpik Rio 2016.

Azizulhasni kini sudah pun melayakkan diri bagi beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini dalam acara keirin dan pecut individu, dia diletakkan sandaran utama bagi menamatkan penantian Malaysia meraih emas sulung pada temasya itu.

Berita Harian X