X
Jumaat, 8 Januari 2021 | 8:54pm
Reezal mengucapkan terima kasih atas sumbangan Shalin selama 28 tahun mewakili negara.
Reezal mengucapkan terima kasih atas sumbangan Shalin selama 28 tahun mewakili negara.

Reezal tabik Shalin

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan besar Shalin Zulkifli selepas ratu tenpin boling itu sah bersara daripada mewakili negara.

Menerusi kenyataan media hari ini, Reezal bagaimanapun berharap semua pihak menghormati keputusan yang diambil Shalin selepas 28 tahun menyumbang bakti mengharumkan nama negara dengan meraih hampir 100 pingat.

Beliau juga sudah meminta Majlis Sukan Negara (MSN) meneruskan perbincangan dengan Shalin khususnya mengenai perancangan masa depannya.

"Beliau (Shalin) seorang atlet yang berjiwa besar serta banyak terbabit dalam beberapa program yang membabitkan sokongan kebajikan kepada atlet negara.

"Antara sumbangan beliau termasuklah sebagai Pengerusi Suruhanjaya Atlet Majlis Olimpik Malaysia di samping sumbangan kepada KBS dan MSN dalam gerakan pembangunan wanita dalam sukan.

"Ini menunjukkan betapa besarnya jiwa sukan yang ada dalam diri beliau," katanya.

Terdahulu, Shalin pada sidang media khas, hari ini, menjelaskan dia akan bergerak sebagai pemain profesional walaupun sudah bersara daripada mewakili negara.

Selain itu, Reezal turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga Shalin, pihak pengurusan, jurulatih serta pasukan boling negara yang turut memberi sumbangan dalam melahirkan seorang bintang dan jaguh sukan bernama Shalin.

Berita Harian X