X
Jumaat, 8 Januari 2021 | 8:11pm
Shapawi tegaskan MSN, Kompleks Sukan Negara tak akan ditutup walaupun atlet serta pegawai dijangkiti COVID-19.
Shapawi tegaskan MSN, Kompleks Sukan Negara tak akan ditutup walaupun atlet serta pegawai dijangkiti COVID-19.

MSN, Kompleks Sukan Negara tak ditutup

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menganggap bukan satu pilihan yang baik untuk menutup MSN dan Kompleks Sukan Negara selepas berlaku jangkitan COVID-19 dalam kalangan atlet dan pegawai sukan.

Beliau berkata, apa yang penting ketika ini adalah memastikan langkah kawalan dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dapat dilaksanakan semua pihak bagi mengekang penularan virus berkenaan.

"Kita kena terima hakikat perlu hidup dalam keadaan jangkitan COVID-19 yang berada di mana-mana. Pilihan kita masih kekal, pembukaan sektor sukan pada tahun ini bukan saja di peringkat tempatan, malah peringkat dunia sudah mula berlaku.

"Kita kena pastikan setiap atlet kita sentiasa bersedia dan dengan ada kem latihan seperti inilah yang boleh membantu mereka.

"Kita akan meneruskan buat masa ini sehingga kita mendapat arahan atau panduan selanjutnya daripada perkembangan pandemik COVID-19," katanya selepas sidang media khas persaraan ratu tenpin boling negara, Shalin Zulkifli, di sini, hari ini.

Semalam, MSN mengesahkan lima lagi kakitangan mereka positif ujian COVID-19 selepas sebelum ini dilaporkan tujuh atlet dan seorang pegawai sukan dijangkiti virus itu.

Mengulas mengenai persaraan Shalin daripada pasukan kebangsaan, Shapawi mengakui ia memberi impak kepada skuad boling negara.

"Sudah tentu ia memberi impak kepada pasukan kebangsaan, tapi kita sedia maklum bahawa akan ada noktah (persaraan) bagi setiap atlet.

"Keputusan dia memang menyedihkan, tapi kita harus terima hakikat dan perlu terus berjuang mencari pelapis-pelapis boling dan kita ada ramai pelapis menerusi program tertentu," katanya.

Berita Harian X