Khamis, 7 Januari 2021 | 2:04pm
Aksi ratu tenpin boling negara, Shalin Zulkifli. - Foto NSTP
Aksi ratu tenpin boling negara, Shalin Zulkifli. - Foto NSTP

Shalin atlet kelas A

KUALA LUMPUR: Ratu tenpin boling negara, Shalin Zulkifli layak dinobatkan sebagai antara atlet terbaik negara sepanjang zaman dan berada 'sekelas' bersama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Azizulhasni Awang.

Itu rumusan yang diberikan mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang mengakui Shalin sememangnya seorang atlet yang dilahirkan untuk menjadi bintang, pemimpin dan juga pemenang menerusi kejayaannya dalam arena boling.

Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Jelasnya, atlet berusia 42 tahun itu sewajarnya menjadi ikon kepada atlet lain yang berhasrat untuk menempa kejayaan dalam tempoh jangka masa panjang seperti yang dinikmati Shalin yang menghimpun pengalaman selama 28 tahun.

"Bagi saya, Shalin antara atlet terbaik untuk sepanjang zaman. Dia sebenarnya boleh bersara lebih awal tetapi dia yakin mampu untuk terus memberikan sesuatu dan sebab itulah, dia terus beraksi sehingga mencecah usia 40an.

"Mungkin ada yang beranggapan sukan boling tidaklah sukar kerana tidak memerlukan kudrat yang banyak dan sebab itulah dia boleh beraksi sehingga berpuluh tahun. Tetapi ramai yang tidak sedar tekanan sukan boling sememangnya tinggi.

"Di pentas Sukan SEA sekalipun, saingannya sudah bertaraf dunia tetapi Shalin konsisten menghadiahkan kejayaan buat negara. Jadi saya rasa dia sudah menyumbang lebih daripada apa yang sepatutnya.

"Sepanjang kariernya pun, saya tidak pernah mendengar sebarang kontroversi atau dia menimbulkan apa-apa masalah. Sebab itulah saya katakan dia seharusnya menjadi contoh kepada atlet yang lain," katanya.

Terdahulu, Shalin yang juga bekas juara dunia itu secara rasminya mengundur diri daripada mewakili Malaysia.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradona Chok mengesahkan perkara itu dan berkata Shalin yang mempunyai kerjaya cemerlang dengan mengumpul 74 pingat di peringkat senior menyerahkan surat peletakan jawatannya menerusi ketua jurulatih kebangsaan Holloway Cheah, kelmarin.

Dalam masa sama, Zolkples mengharapkan Shalin tidak 'menggantung terus' tangannya dan menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan untuk membantu membentuk lebih ramai jaguh tenpin boling selepas ini.

"Saya harap Shalin akan terus menyumbang kepada negara sekalipun tidak lagi terbabit sebagai atlet. Gunakan pengalaman yang ada untuk memajukan lagi sukan tenpin boling di negara ini," katanya.

Berita Harian X