Jumaat, 30 Oktober 2020 | 8:21pm
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menghadiri sesi webinar bersama penganjur Sukan Olimpik Tokyo semalam.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menghadiri sesi webinar bersama penganjur Sukan Olimpik Tokyo semalam.

Olimpik Tokyo wujud jawatankuasa khas tangani isu COVID-19

KUALA LUMPUR: Penganjur Tokyo 2020 mengesahkan satu Jawatankuasa Khas sudah ditubuhkan bagi menangani isu berkaitan COVID-19 menjelang Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik 2020, tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin selepas sesi webinar yang diadakan oleh penganjur bersama ketua kontinjen paralimpik, membabitkan wakil 165 buah negara dari seluruh dunia, semalam.

Katanya, berdasarkan taklimat yang diberikan Presiden Jawatankuasa Penganjuran Tokyo 2020, Youshiro Mori, pihak tuan rumah memberi jaminan segala persiapan untuk Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik 2020 sedang giat dilakukan.

"Terdapat garis panduan dan SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi kontinjen dari setiap negara sebelum bertolak ke Jepun.

"Beberapa langkah berjaga-jaga juga akan diperkenalkan oleh Jepun untuk melindungi dan menjaga tahap kesihatan atlet sepanjang temasya. Kemaskini mengenai perubahan situasi COVID-19 akan dilakukan secara berkala dari semasa ke semasa oleh tuan rumah Jepun.

"Jumlah pengunjung ke temasya berkenaan akan dihadkan kepada kapasiti 50 peratus," kata Megat menerusi kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Sukan Paralimpik Tokyo dijadualkan pada 25 Ogos hingga 5 September tahun depan.

Sebanyak 22 sukan dipertandingkan yang menawarkan 539 pingat emas membabitkan 21 venue pertandingan rata-ratanya di Tokyo.

Dalam pada itu, Megat, berkata setakat ini seramai sembilan atlet Malaysia sudah melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo membabitkan empat atlet daripada sukan olahraga, memanah (dua), boccia (satu) dan renang (dua).

"Kami menjangkakan beberapa atlet lagi akan melayakkan diri antaranya daripada sukan badminton para, powerlifting dan berbasikal para.

"Pihak kami turut menyeru kepada semua atlet Para agar meningkatkan intensiti latihan selepas pihak IPC (Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa) mengesahkan tempoh kelayakan ke temasya Tokyo 2020 dibuka semula bermula Januari hingga Mei 2021," katanya yang menaruh harapan tinggi untuk menghantar seramai 30 atlet dan pegawai ke temasya berkenaan.

Pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Malaysia menghantar seramai 21 orang bagi mewakili kontinjen negara dan berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan satu gangsa.

Berita Harian X