Rabu, 21 Oktober 2020 | 12:06pm
Ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi. - Foto IG Farah Ann
Ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi. - Foto IG Farah Ann

Kecederaan bahu Farah Ann semakin pulih

KUALA LUMPUR: Ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi kini semakin pulih daripada kecederaan bahu selepas menjalani proses rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) sejak beberapa bulan lalu.

Jurulatih gimnastik artistik wanita negara, Ng Shu Wai berkata, persiapan untuk gimnas itu kini kembali berada di landasan seperti dirancang.

"Ketika Peintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, dia memberitahu kami yang dirinya mempunyai kesakitan di bahu. Namun selepas beberapa bulan menjalani rawatan oleh ISN, dia semakin baik sekarang ini.

"Boleh dikatakan 90 peratus boleh menjalani latihan," kata Shu Wai mengenai Farah yang dijadual mewakili negara di temasya Sukan Olimpik Tokyo, tahun depan.

Untuk rekod, Farah, 25, adalah gimnas ketiga yang pernah layak ke Sukan Olimpik selepas Shu Wai di Athens 2004 dan Li Yen di Sydney 2000.

Mengulas lanjut mengenai kekangan latihan intensif susulan pandemik COVID-19 ke atas Farah, Shu Wai berkata:"Sudah tentu sangat sukar untuk dirinya dan juga gimnas yang lain, hanya berlatih tanpa kejohanan.

"Namun kita tidak boleh menyalahkan atas apa yang berlaku kerana situasi COVID-19 ketika ini semakin teruk. Saya tahu, FIG (Persekutuan Gimnastik Antarabangsa) sudah memulakan siri Piala Dunia di Hungary pada bulan ini.

"Saya tidak fikir, Farah cergas sepenuhnya untuk menyertai mana-mana kejohanan pada tahun ini tambahan pula ada sesetengah kejohanan perlu didaftar tiga bulan sebelum bermula. Apapun ada kemungkinan (perancangan untuk Farah) adalah tahun depan sekiranya mendapat lampu hijau daripada MSN (Majlis Sukan Negara), KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan KKM (Kementerian Kesihatan)."

Berita Harian X