Jumaat, 9 Oktober 2020 | 2:54pm
Pemain negara, Kelly Tan (kiri) berbincang dengan kedinya pada lubang kedua pusingan pertama Kejuaraan PGA Wanita di Kelab Golf Aronimink, Newtown Square, Pennsylvania. - Foto AFP
Pemain negara, Kelly Tan (kiri) berbincang dengan kedinya pada lubang kedua pusingan pertama Kejuaraan PGA Wanita di Kelab Golf Aronimink, Newtown Square, Pennsylvania. - Foto AFP

Pemain Malaysia dahului bersama golf Kejuaraan PGA Wanita

NEW YORK: Pemain golf wanita negara, Kelly Tan membenam birdie dalam tiga daripada empat lubang pertama untuk mencatat tiga di bawah par 67 sekali gus terikat selaku pendahulu bersama pemain golf Amerika Syarikat (AS), Brittany Lincicome pada pusingan pembukaan Kejuaraan PGA Wanita.

Kelly yang menghuni ranking ke-169 dunia, memburu kejuaraan LPGA sulungnya, melakar tiga birdie daripada jarak 25 kaki untuk menebus dua bogey yang dilakukan pada pusingan sukar di Aronimink, Newtown Square, Pennsylvania.

"Pukulan saya sangat baik hari ini. Saya rasakan saya memukulnya pada titik yang tepat dan ia memberi keyakinan untuk saya melakukan pukulan dalam jarak 20 ke 30 kaki.

"Saya beritahu diri sendiri pada setiap hari bahawa saya mempunyai impian yang kecil dan cuba mencapainya untuk membina keyakinan. Pukulan saya sangat baik dan saya rasa ia menjadi kunci untuk saya terus yakin bagi meneruskan saingan.

"Saya hanya perlu bersabar dan cuba membuat pukulan 30 ke 50 kaki jika perlu. Sudah tentu ada kesukaran tetapi saya berbangga dengan prestasi saya ketika ini," kata Kelly.

Aksi Kelly Tan pada pusingan pertama Kejuaraan PGA Wanita. - Foto AFP
Aksi Kelly Tan pada pusingan pertama Kejuaraan PGA Wanita. - Foto AFP

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Kelly dalam LPGA adalah menamatkan saingan di tempat keempat sebagai pendatang baharu pada Marathon Classic 2014 namun gagal menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik sehingga pada Marathon, Ogos lalu yang menyaksikan dia berada pada tempat kesembilan.

Sementara itu, Lincicome yang memburu kejuaraan Major ketiga selepas 2009 dan gelaran ANA Inspiration 2015 pula mencatat empat birdie dan satu bogey.

"Saya sangat gembira. Hari ini lebih kepada saya mempercayai proses, fairway dan green, menjadi agresif dan tidak membiarkan pukulan putt pendek jadi semuanya berhasil.

"Tetapi ini menakutkan kerana lapangan golf ini sebenarnya tidak mudah. Ia terlalu berangin dan juga kadang kadang terlalu dingin," kata Lincicome.

Keputusan pusingan pertama:

67 - Brittany Lincicome, Kelly Tan (MAS)

68 - Danielle Kang, Lydia Ko (NZL), Linnea Strom (SWE), Carlota Ciganda (ESP), Gaby Lopez (MEX), Cydney Clanton

69 - Matilda Castren (FIN), Amy Yang (KOR), Anna Nordqvist (SWE), Pernilla Lindberg (SWE)

70 - Charley Hull (ENG), Hinako Shibuno (JPN), Jenny Shin (KOR), Pajaree Anannarukarn (THA), Sarah Schmelzel, Lauren Stephenson, Georgia Hall (ENG), Lexi Thompson, Park In-bee (KOR), Ashleigh Buhai (RSA), Isi Gabsa (GER), Lee Jeong-eun (KOR), Jasmine Suwannapura (THA)

71 - Robynn Ree, Gerina Piller, Ji Eun-hee (KOR), Caroline Hedwall (SWE), Brooke Henderson (CAN), Nelly Korda, Park Sung-hyun (KOR), Alena Sharp (CAN), Kim Sei-young (KOR), Cristie Kerr, Ally McDonald, Amy Olson, Cheyenne Knight, Elizabeth Szokol,

- AFP

Berita Harian X