Khamis, 17 September 2020 | 5:03pm
SYAIDATUL Afifah Badrul Hamidi. - Foto NSTP
SYAIDATUL Afifah Badrul Hamidi. - Foto NSTP

MTBC pantau lima pemain pelapis wanita

KUALA LUMPUR: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) enggan terburu-buru dalam mengisi kekosongan ditinggalkan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dalam skuad elit wanita selepas dia mengumumkan persaraan, dua minggu lalu.

Setiausaha Agung MTBC Maradona Chok, berkata badan induk itu akan terus memantau perkembangan lima pemain wanita daripada skuad pelapis sebelum membuat keputusan sama ada menyerapkan mereka dalam skuad elit atau sebaliknya.

"Kami ada lima pemain wanita dalam skuad pelapis, mereka menunjukkan prestasi yang baik. Mereka hanya perlu diberikan lebih pendedahan, pengalaman dan peluang beraksi dalam kejohanan.

"Dari situ nanti, kita akan lihat sejauh mana kemampuan mereka dan sama ada antara mereka akan diserap masuk dalam skuad elit atau sebaliknya," kata Maradona yang ditemui selepas mesyuarat dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Syaidatul Afifah, 29, pada 3 September lalu membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan persaraannya selepas 11 tahun bersama skuad boling kebangsaan.

Dia membuat keputusan itu kerana mahu memberi fokus terhadap kerjaya yang lebih menjamin masa depan.

Antara pencapaian terbaik Syaidatul Afifah adalah memenangi pingat emas berpasangan wanita Kejohanan Asia 2015 di Bangkok, pingat emas berpasukan wanita Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas dan pingat emas trio berpasukan wanita Sukan Asia 2018 di Palembang.

Berita Harian X