Jumaat, 12 Jun 2020 | 8:14pm
Farah (baju merah) kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan semalam.
Farah (baju merah) kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan semalam.

Farah pelik jejak kaki semula di gimnasium

KUALA LUMPUR: Walaupun hampir tiga bulan tidak menjalani latihan susulan pandemik COVID-19, gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi percaya 'skil' dimilikinya masih belum pudar.

Atlet berusia 26 tahun itu, berkata kem latihan pusat Road to Tokyo (RTT) yang bermula sejak Isnin lalu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkemaskan lagi kemahirannya dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik ke Tokyo tahun depan.

Farah mengakui berasa pelik sebaik kembali menjejakkan kaki di gimnasium untuk sesi latihan pertama, semalam tetapi dalam masa sama gembira kerana dapat kembali berlatih bersama rakan sepasukan selepas hampir tiga bulan 'berkurung' di rumah.

Selain Farah, tiga lagi gimnas negara, Tan Ing Yueh, Tracie Ang dan Rachel Yeoh Li Wen turut melaporkan diri bagi latihan pusat RTT bersama jurulatih Nataliya Sinkova dan Ng Shu Wai.

"Memang teruja dapat kembali berlatih walaupun ada rasa pelik sedikit sebab sudah lama tidak berlatih. Namun, saya seronok dapat kembali ke gimnasium bersama rakan sepasukan.

"Skil itu masih ada tetapi 'hard skil' itu mungkin kena ambil masa sedikit untuk kembali mendapat rentak yang sebenar. Saya percaya dalam beberapa minggu ini kami boleh dapatkannya semula," katanya yang sudah layak ke Tokyo secara merit dalam acara individu keseluruhan ketika Kejohanan Gimnastik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Pemenang tiga pingat emas Sukan SEA 2019 di Filipina itu mencipta sejarah sebagai gimnas ketiga negara menempah tiket ke Olimpik apabila layak ke Tokyo tahun depan selepas kali terakhir jurulatihnya, Shu Wai mewakili negara pada Sukan Olimpik 2004 di Athens.

Seorang lagi gimnas wanita negara yang pernah ke pentas Olimpik ialah Au Li Yen pada Olimpik 2000 di Sydney.

Berita Harian X