Sabtu, 1 Februari 2020 | 2:51pm
Pingat emas Izzah ditarik semula Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC). - NSTP/Osman Adnan
Pingat emas Izzah ditarik semula Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC). - NSTP/Osman Adnan

Tunku Imran hairan emas Izzah ditarik balik

SERDANG: Menyedihkan! Itu pandangan bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar mengenai kontroversi pingat emas gimnas negara, Izzah Amzan yang ditarik semula Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC).

"Saya tidak mengikutinya (isu berkenaan) secara langsung tetapi ia sesuatu yang mengecewakan dalam mana-mana penganjuran apabila sesuatu temasya tamat, ada yang menarik semula pingat daripada atlet.

"Persekutuan Sukan SEA (SGF) harus membincangkan perkara ini kerana temasya adalah untuk atlet dan bukan disebabkan kehendak ahli politik atau kerajaan. Semuanya harus dilakukan untuk atlet. Saya tidak tahu kenapa ia terjadi," kata Tunku Imran.

Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) baru-baru ini menjelaskan pingat emas dimenangi Izzah dalam acara riben yang diungguli bersama Koi Sie Yan sah ditarik semula. Ini kejadian kali kedua selepas pingat berkenaan dikekalkan apabila menerima bantahan daripada kontinjen negara.

Kontroversi mula tercetus selepas Sie Yan diumumkan sebagai pemenang oleh juri meskipun Sie Yan dan Izzah mengumpul mata sama, 15.200 mata.

Berdasarkan peraturan pertandingan, atlet yang mengumpul jumlah mata sama perlu diberi kemenangan bersama seperti yang berlaku pada temasya sebelum ini dengan Sie Yan pernah berkongsi emas dengan rakan senegara, N Shasangari Sivaneswari bagi acara individu keseluruhan pada temasya 2015 di Singapura.

Hasil bantahan yang dilakukan, Sie Yan dan Izzah akhirnya diumumkan sebagai pemenang emas sementara atlet Thailand, Nat Kulsanawong meraih gangsa (14.050 mata).

Berita Harian X