Ahad, 26 Januari 2020 | 12:26pm
Jon Rahm mengambil alih kedudukan selaku pendahulu pada saingan Terbuka Farmers Insurance, hari ini. - Foto Reuters
Jon Rahm mengambil alih kedudukan selaku pendahulu pada saingan Terbuka Farmers Insurance, hari ini. - Foto Reuters

Giliran Rahm mendahului di Torrey Pines

LONDON: Jon Rahm mengambil alih kedudukan selaku pendahulu pada saingan Terbuka Farmers Insurance selepas berakhir pusingan ketiga di Torrey Pines, awal pagi tadi.

Rory Mcllroy pula masih kekal bersaing dalam misi merampas kembali status pemain nombor satu dunia manakala Tiger Woods turut berpeluang bagi merekodkan gelaran ke-83 Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS).

Rahm melakukan lima birdie dan satu eagle tanpa sebarang bogey bagi mencatat  tujuh di bawah par 65 untuk keseluruhan 12 di bawah par 204 selepas berakhir 54 lubang.

Pendahulu pusingan kedua, Ryan Palmer ketinggalan satu pukulan di belakang dengan catatan 71.

“Saya sangat fokus. Untuk tidak melakukan sebarang bogey di Torrey Pines adalah sesuatu yang cukup positif,” kata Rahm yang melakukan semua 15 putt dari dari kurang 10 kaki.

Sementara itu, Woods yang sudah merekodkan lapan gelaran di Torrey Pines merakam 69 pukulan, lima pukulan di belakang Rahm memasuki pusingan terakhir, awal pagi esok.

“Saya perlukan melakukan yang baik pada pusingan terakhir esok. Saya akan melakukan persiapan dan berharap mampu melakukan catatan yang lebih baik,” katanya.

Mcllroy pula memerlukan kejuaraan bagi membolehkan dia kembali memegang status pemain nombor satu dunia buat kali pertama sejak 2015 mencatat 67 pukulan untuk berkongsi kedudukan ketiga dengan pemain Korea Selatan, Kang Sung dan dua lagi pemain AS, Harry Higgs serta Cameron Champ. – AFP

Berita Harian X