Khamis, 23 Januari 2020 | 12:11pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - NSTP/Mustaffa Kamal
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - NSTP/Mustaffa Kamal

PDRM zahirkan penghargaan anggota bawa pulang pingat Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan penghargaan kepada empat pegawai dan 20 anggota yang berjaya membawa pulang lima pingat emas, perak (tiga) dan gangsa (empat) pada Sukan SEA Ke-30, yang berlangsung di Manila, Filipina, akhir tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kejayaan individu terbabit membuktikan PDRM berupaya melahirkan atlet berprospek emas dan lagenda sukan yang disegani.

“PDRM tidak ketinggalan untuk turut menabur jasa kepada negara menerusi bidang sukan walaupun terikat dengan tugas hakiki yang mencabar.

“Pada tahun lalu, seramai 24 atlet dari PDRM terpilih menyertai Sukan SEA Ke-30, di Filipina.

“Lebih membanggakan, atlet terbabit berjaya mengharumkan nama pasukan dan negara selepas membawa pulang pingat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Abdul Hamid turut menyerahkan surat penghargaan kepada 49 pegawai dan 41 anggota yang menunjukkan prestasi cemerlang, sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara (KPN) anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Bukit Aman, semalam.

“Kita menghargai prestasi cemerlang mereka dalam pelbagai bidang tugas dan operasi narkotik selain mempamerkan tahap integriti yang tinggi dalam menolak rasuah.

“Operasi itu termasuk Op Strok, Op Robin, Op Eagle, Op Sparrow, Op Toucan dan Op Finch,” katanya.

Berita Harian X