Ahad, 5 Januari 2020 | 9:59pm
Datuk Mazlan Ahmad (kanan) dan Datuk Ahmad Shapawi Ismail. - Foto NSTP
Datuk Mazlan Ahmad (kanan) dan Datuk Ahmad Shapawi Ismail. - Foto NSTP

Mazlan pertahan Shapawi

KUALA LUMPUR: Kenapa perlu letak jawatan sedangkan Sukan SEA 2019 Filipina bukanlah kali pertama menyaksikan kontinjen negara gagal mencapai sasaran pingat. 

Persoalan itu ditimbulkan 'orang lama' Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Mazlan Ahmad berikutan desakan supaya Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail meletak jawatan.

Ia selepas persembahan kontinjen negara dikatakan terburuk dalam sejarah kerana gagal mencapai sasaran 70 pingat emas di Filipina, November lalu.

"Belum pernah ada Ketua Pengarah MSN meletakkan jawatan di atas kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran, yang ada setakat ini jawatan itu dikosongkan oleh sebab lain. 

"Oleh itu tak payahlah mahu mendesak supaya Shapawi meletak jawatan kerana gagal di Filipina," katanya kepada BH Sukan, di sini, hari ini.

Kontinjen negara diletakkan sasaran 70 pingat emas pada edisi ke-30 temasya dwi tahunan itu namun pulang dengan 56 pingat emas, 57 perak dan 71 gangsa. 

"Betul kontinjen negara memang gagal capai sasaran pingat di Filipina tetapi bukanlah yang terburuk dalam sejarah, ada lagi yang lebih buruk daripada segi pencapaian pingat emas.

"Saya ingat lagi apabila kita menganjurkan Sukan SEA 2001 di sini, kita memperoleh kejuaraan dengan 111 emas namun dua tahun kemudian kita hanya memperoleh 44 pingat emas dan menduduki tempat kelima biarpun sasaran adalah 50 emas. Tetapi tak ada siapa pun yang suruh saya meletakkan jawatan," katanya.

Selama 12 tahun memegang jawatan Ketua Pengarah MSN, Mazlan berkata kegagalan mencapai sasaran bukanlah terletak di bahu MSN sepenuhnya kerana pemilihan atlet dibuat menerusi Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas dikemukakan persatuan sukan kebangsaan (NSA) masing-masing.

Sasaran pingat juga dilakukan secara bersama-sama antara MSN, NSA dan OCM namun ketika sasaran gagal dicapai, Mazlan berkata mengapa hanya MSN dipersalahkan sedangkan banyak pihak terbabit termasuk jurulatih dan atlet itu sendiri.

"Orang ramai perlu faham apa tugas MSN sejak awal penubuhan dan ubah persepsi masing-masing, kami bukan perlu pikul tanggungjawab dijalankan NSA. Sebelum ada MSN pun pembangunan sukan dijalankan NSA sendiri, kalau esok MSN dimansuhkan pun sukan masih akan diteruskan menerusi NSA.

"NSA perlu ikut macam mana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM),  Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan beberapa persatuan lain yang menguruskan persatuan masing-masih secara berdikari. 

“NSA jangan mudah melepaskan tanggungjawab kepada MSN kerana MSN tidak boleh ambil alih keseluruhan tugas mereka," katanya.

Menerusi desakan terbaharu pada dua hari lalu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyatakan pandangannya supaya Shapawi melepaskan jawatan Ketua Pengarah MSN.

Sebelum ini bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong juga menyatakan pandangan sama.

Berita Harian X