KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menjangkakan laporan bedah siasat susulan kegagalan kontinjen Malaysia mencapai sasaran 70 pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina siap Februari depan.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata semua persatuan sukan kebangsaan yang terbabit akan dipanggil dalam sesi pertemuan akan diadakan awal Januari.
"Kita akan bahagikan kepada dua kumpulan mengikut pencapaian di Sukan SEA (cemerlang dan gagal). Namun, sudah pasti fokus akan lebih diberikan kepada persatuan sukan yang tidak mencapai sasaran.
"Pertemuan itu juga nanti akan menjadi asas untuk kita merangka program seterusnya bagi tahun 2020," kata Shapawi kepada BH Sukan.
Mengenai surat tunjuk sebab yang akan diberikan kepada persatuan sukan yang gagal mencapai sasaran emas di Filipina, Shapawi berkata ia akan dihantar dalam masa terdekat.
"Sebenarnya, bukan saja persatuan yang gagal tetapi semua persatuan terbabit dengan Sukan SEA kali ini turut akan dipanggil untuk tujuan bedah siasat.
"Jika capai sasaran sekalipun, kita mahu lihat apa lagi penambahbaikan yang boleh dibuat untuk kita lebih cemerlang pada masa akan datang," katanya.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini mengarahkan MSN untuk memberikan surat tunjuk sebab kepada semua persatuan sukan kebangsaan yang gagal mencapai sasaran emas di Filipina.