Jumaat, 21 Jun 2019 | 9:11pm
PUTRI Alyaa mendahului bersama kategori wanita pusingan kedua golf Kejohanan Amatur Terbuka Malaysia di Kuching.
PUTRI Alyaa mendahului bersama kategori wanita pusingan kedua golf Kejohanan Amatur Terbuka Malaysia di Kuching.

Malcolm, Alyaa kekal cemerlang pusingan kedua golf Amatur Terbuka Malaysia

KUCHING: Pemain negara, Malcolm Ting beraksi cemerlang untuk mengekalkan kedudukan selaku pendahulu bersama golf Kejohanan Amatur Terbuka Malaysia ke-117 di Kelab Golf Sarawak, Kuching yang memasuki hari kedua hari ini selepas mencatatkan 70 pukulan dua di bawah par.

Memulakan saingan hari ini dengan catatan 33 pukulan tiga di bawah par pada sembilan lubang pertama, Malcolm hampir menamatkan pusingan kedua tanpa bogey, namun `tragedi’ di lubang 18 memaksa beliau akur dengan catatan 70 empat dibawah par secara keseluruhan.

Walaupun kecewa dengan catatan double bogey di lubang terakhir, dia yang ditemui tetap berpuas hati apabila berjaya menyerap segala tekanan, meskipun sedar saingan yang dihadapi dari pemain lain.

“Saya melakukan banyak pukulan yang baik dan amat berpuas hati dengan putting pada hari ini. Walaupun kecewa dengan catatan double bogey dilubang 18, saya mengambilnya sebagai satu pengajaran berharga untuk lebih bijak menyerap tekanan,” katanya.

Berkongsi sebagai pendahulu, Jake William Hughes dari Australia melakukan catatan 69 tiga di bawah par berbanding catatan pusingan pertama dengan 71 satu di bawah par.

Membenam lima birdie, Hughes seharusnya mencatatkan keputusan lebih baik jika tidak dihukum dengan catatan dua bogey di lubang ke-10 dan ke-16.

Seramai 74 pemain lelaki berjaya melepasi cut yang ditetapkan pada 14 di atas par untuk beraksi di pusingan ketiga esok.

Sementara itu dalam kategori wanita, pemain negara, Natasha Andrea Oon menggunakan segala pengalamannya untuk terus memberi saingan kepada pendahulu pusingan pertama yang juga rakan senegara, Putri Alyaa Ghanny.

Natasha berjaya melakukan 67pukulan untuk jumlah keseluruhan 7 di bawah par, mendahului bersama Putri Alyaa yang melakukan 69 pukulan pada pusingan kedua hari ini.

Dia bermula garang dengan melakukan birdie berturutan di lubang satu, dua, tiga dan empat, sebelum membenam dua lagi birdie di lubang ke-6 dan ke-10. Namun catatan bogey di lubang ke-18 menghalang Natasha untuk melakukan permainan sempurna di pusingan kedua.

“Permulaan yang baik di empat lubang pertama memberi saya semangat dan keyakinan. Saya dapat membaca green dengan baik pada hari ini dan putting yang sempurna membolehkan saya membenam lima birdie.

“Saya amat berpuashati,” kata Natasha yang ketika ini sedang belajar di San Jose State University, Amerika Syarikat.

Berita Harian X