Isnin, 22 April 2019 | 6:30pm
Kerajaan Perak sedang dalam usaha untuk merangka satu undang-undang khusus bagi pentadbiran dan peraturan e-sports. - Foto hiasan
Kerajaan Perak sedang dalam usaha untuk merangka satu undang-undang khusus bagi pentadbiran dan peraturan e-sports. - Foto hiasan

Perak bakal wujud peraturan e-sports

IPOH: Kerajaan Perak sedang dalam usaha untuk merangka satu undang-undang khusus bagi pentadbiran dan peraturan sukan elektronik (e-sports) di negeri itu.

Pengerusi Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata usaha itu digerakkan atas permintaan daripada penggiat e-Sports sendiri yang merasakan perlunya pentadbiran dan peraturan.

"Kebiasaannya apabila sembang tentang peraturan, penggiat atau pemain akan tolak atau sedaya upaya kurangkan peraturan atau ‘regulation’ itu.

"Tapi dalam e-Sports, mereka (penggiat) yang menggalakkan kerangka peraturan diwujudkan kerana banyak masalah seperti aspek kesihatan," katanya.

Lee (DAP-Pasir Pinji) menyatakan demikian semasa menggulung perbahasan menjunjung kasih atas penzahiran titah diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, Lee berkata usaha merangka undang-undang dan peraturan berkaitan e-Sports itu turut mengambil kira kesan sukan alam maya itu terhadap pelbagai aspek termasuk sosial serta politik.

Selain itu, Lee juga memaklumkan persidangan DUN, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah menjadikan penganjuran Persidangan Industri Profesional e-Sports (EPIC) pada Februari lalu sebagai penanda aras sukan itu.

"KBS juga menjadikan beberapa perbincangan dalam EPIC sebagai 'blue print' e-Sports. Perak adalah pemimpin agenda e-Sports di Malaysia," kata Lee.

-- BERNAMA

Berita Harian X