Isnin, 10 Disember 2018 | 9:40am

Kizzire, Harman juara QBE Shootout

MIAMI: Patton Kizzire dan Brian Harman melakukan eagle di lubang ke-17 par lima untuk mengesahkan kemenangan pada kejohanan QBE Shootout di Naples, Florida, mengatasi Graeme McDowell dan Emiliano Grillo, awal pagi tadi.

Harman dan Kizzire ketinggalan satu pukulan di belakang McDowell-Grillo ketika memulakan permainan di lubang itu bagi pusingan akhir menggunakan format fourballs.

“Kami sedar kami memerlukan sekurang-kurangnya birdie dan eagle satu bonus,” kata Kizzire.

“Pukulan ironnya sangat dekat dan memudahkan saya dan saya memukulnya dengan baik.”

Kizzire dan Harman mencatat 11 bawah par 61 untuk keseluruhan 30 bawah par 186.

McDowell dan Grillo mengumpul 10 birdie – termasuk tujuh berturut-turut bermula dari lubang ke-11 – untuk 10 bawah par 62 dan keseluruhan 29 bawah par 187.

Ia kali kedua berturut-turut McDowell bergelar naib juara pada kejohanan anjuran pemain legenda Greg Norman itu, selepas terikat di tempat kedua ketika bergandingan dengan Shane Lowry tahun lalu. – AFP

Berita Harian X