Jumaat, 21 September 2018 | 11:29am
TIGER Woods menamatkan pusingan pertama dengan penuh bertenaga pada Kejuaraan Jelajah di Atlanta, hari ini. - Foto AFP
TIGER Woods menamatkan pusingan pertama dengan penuh bertenaga pada Kejuaraan Jelajah di Atlanta, hari ini. - Foto AFP

Tiger Woods laung amaran awal

ATLANTA: Tiger Woods menamatkan pusingan pertama dengan penuh bertenaga apabila melakukan tiga eagle untuk berkongsi kedudukan pendahulu, pada Kejuaraan Jelajah di Atlanta, hari ini.

Pukulan kedua Woods sampai ke green pada par lima di lubang ke-18, dan dia kemudian tenang melakukan put dengan jarak 25 kaki untuk mengumpul 5 di bawah par 65.

Keputusan itu membolehkan Woods berkongsi kedudukan dengan rakan senegara dari Amerika Syarikat, Rickie Fowler di lapangan East Lake.

Ia kejohanan kedua berturut-turut Woods berkongsi kedudukan sebagai pendahulu pusingan pertama, selepas dia dan Rory McIlroy terikat di tangga teratas pada hari pertama dengan 62 pukulan di Kejohanan BMW di Philadelphia.

"Untuk menamatkan saingan dengan melakukan eagle adalah sesuatu yang menggembirakan kerana pukulan drive saya pergi ke sebelah kiri.

“Saya bernasib baik bola tidak masuk ke dalam semak, sebelum saya memukulnya untuk sampai ke green,” kata Woods.

“Secara keseluruhan, saya gembira dengan permainan hari ini. Saya dapat mengawal banyak pukulan.

“Apa yang menyukarkan adalah untuk saya mempercepatkan pukulan ke green. Saya gagal melakukan putt dengan baik, tetapi apabila saya dapat mengawal pukulan, semuanya menjadi.”

Sementara itu, Fowler pula mencuri tumpuan dengan melakukan birdie berturut-turut di lubang lima dan enam sebelum hilang satu pukulan di lubang tujuh.

Pemain nombor sembilan dunia itu membuat birdie di lubang lapan sebelum menambah birdie di lubang ke-11, 14 dan 18.

“Ia hari yang baik. Pukulan saya tidak berapa baik pada awalnya, tetapi saya berjaya memperbaiki dengan cepat,” kata Fowler.

Dalam pada itu, pemain nombor satu dunia, Justine Rose membenam birdie pada dua lubang terakhir untuk mengumpul 66 pukulan bagi berkongsi kedudukan ketiga. -AFP

 

Berita Harian X