Isnin, 27 Ogos 2018 | 10:51am
BRYSON DeChambeau berjaya menjulang kejohanan PGA Northern Trust di Kelab Golf dan Country Ridgewood. - Foto AFP
BRYSON DeChambeau berjaya menjulang kejohanan PGA Northern Trust di Kelab Golf dan Country Ridgewood. - Foto AFP

DeChambeau julang Northern Trust

PARAMUS, AMERIKA SYARIKAT: Bryson DeChambeau berkata, dia kini menumpukan usaha melengkapkan strategi ‘serampang dua mata’ selepas berjaya menjulang kejohanan PGA Northern Trust menerusi kelebihan empat pukulan, awal pagi tadi.

DeChambeau, 24, memenangi Jelajah PGA buat kali kedua tahun ini dan ketiga di sepanjang karier profesional. Dia mencatat dua di bawah par 69 untuk mengumpul 18 di bawah 266 keseluruhan di Kelab Golf dan Country Ridgewood.

Pemain Amerika Syarikat itu melangkah ke pusingan akhir kejohanan pembuka tirai Siri Playoff Piala FedEx itu dengan kelebihan empat pukulan dan menjarakkan diri menerusi enam pukulan apabila membenam birdie di dua lubang pertamanya.

Bagaimanapun, bogey di lubang enam dan sembilan menyaksikan kelebihan DeChambeau berkurangan kepada dua pukulan apabila pesaing utamanya termasuk Aaron Wise merapatkan diri.

Usaha lawannya untuk terus mengancam tidak kesampaian apabila DeChambeau kembali membenam birdie di lubang 12 dan 13 untuk mengumpul 18 di bawah par keseluruhan.

DeChambeau mencatat par pada baki lima lubang dan termasuk di lubang terakhir walaupun pukulan drive yang dilakukannya tersasar di sebelah kanan.

“Saya ada misi tersendiri ketika ini. Satu ialah untuk berada dalam senarai Piala Ryder dan satu lagi ialah memenangi Piala FedEx,” kata DeChambeau.

“Saya bermain baik ketika ini dan saya hanya perlu mengekalkan rentak konsisten bagi memastikan saya berada di landasan tepat.”

Kejayaan itu hadir selepas dia gagal menjulang Terbuka Eropah di Jerman bulan lalu serta tidak berjaya melepasi cut di Kejohanan PGA dua minggu lalu.

Kegagalan itu menyaksikan dia berada di tangga kesembilan senarai pemain yang layak ke Piala Ryder dan kini mengharapkan kapten, Jim Furyk untuk memilihnya berdasarkan kuota khas. - AFP

Berita Harian X