Selasa, 31 Julai 2018 | 7:36pm
GAMBAR fail, Amy Kwan dan  Koi Sie Yan.
GAMBAR fail, Amy Kwan dan  Koi Sie Yan.

Dua gimnas hadiahkan pingat di Bulgaria

KUALA LUMPUR: Dua gimnas negara yang kini berada di Bulgaria, Amy Kwan dan  Koi Sie Yan mempamerkan aksi memukau untuk menghadiahkan satu emas, tiga perak dan satu gangsa di Kejohanan Antarabangsa Marine Gracew.

Ia adalah persiapan terakhir buat skuad gimnas negara sebelum berlepas ke Indonesia bagi menghadapi temasya Sukan Asia dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

Pencapaian dua gimnas terbaik negara itu dilihat mampu membakar semangat masing-masing sebelum turun berdepan cabaran yang lebih getir di Indonesia nanti.

Pengurus Podium bagi sukan gimrama, Faliq Mohd Razip berkata, penyertaan dua gimnas negara di Bulgaria adalah sebagai pemanas badan terakhir sebelum Sukan Asia.

Katanya, tiada sasaran khusus diletakkan buat mereka namun kejayaan membawa pulang pingat dilihat mampu menjadi pemangkin buat atlet negara kerana cabaran di Sukan Asia nanti cukup berbeza.

"Sukan Asia tidak mudah. Ramai gimnas bertaraf dunia akan bertanding di sana. Saya gembira mereka dapat mempamerkan aksi memukau.

"Pingat yang diraih itu adalah satu pencapaian positif buat gimnas kita dan kini mereka boleh menilai tahap prestasi masing-masing," katanya.

Skuad gimrama negara mempertaruhkan empat gimnas untuk membawa cabaran negara ke temasya itu selepas melayakkan diri atas tiket kategori A oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Mereka terdiri daripada Amy, Izzah Amzan, Sie Yan dan Ng Jia Wen yang menggantikan N Shasangari Sivaneswary yang mengalami kecederaan buku lali.

 

Berita Harian X