Ahad, 15 Julai 2018 | 1:34pm
MICHEAL Kim.
MICHEAL Kim.

Kim makin hampiri hadiah ulang tahun kelahiran

LOS ANGELES: Micheal Kim meraikan sambutan hari lahirnya yang ke-25 dengan mencatat tujuh di bawah par 64 pada pusingan ketiga John Deere Classic hari ini, untuk menjarakkan kedudukan pendahulu lima pukulan ke atas Bronson Burgoon.

Keadaan cuaca yang buruk sehingga aksi dihentikan sementara, tidak menghalang Kim merakam empat birdie berturut-turut bagi meletakkannya pada kedudukan selesa untuk menyambar gelaran pertama Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS).

Setakat 54 lubang aksi, dia mengumpul keseluruhan 22 di bawah par 191 di TPC Deere Run di Illinois.

Burgoon pula melengkapkan hari ketiganya dengan mencatat lima di bawah par 66 termasuk eagle di lubang kedua dan tiga birdie berturut-turut.

Ia meninggalkan pemain AS itu 17 di bawah par 196, satu pukulan di depan pemain Australia, Matt Jones yang mencatat 66 pukulan untuk keseluruhan 197.

"Sebelum bermula pusingan ketiga saya berada dalam keadaan tertekan," kata Kim. "Tetapi sebaik saja melakukan tee-off dan birdie di lubang kedua tekanan itu perlahan-lahan mengendur."

Seorang lagi pemain AS, Harold Varner mengikuti di kedudukan keempat dengan 66 pukulan untuk keseluruhan 198. - AFP

Berita Harian X