Jumaat, 15 Jun 2018 | 3:50pm
PEMAIN boling muda negara, Nur Amirah Auni Mohd Azman. - Foto Facebook MTBC
PEMAIN boling muda negara, Nur Amirah Auni Mohd Azman. - Foto Facebook MTBC

Nur Amirah idam terpilih ke Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Pemain boling muda negara, Nur Amirah Auni Mohd Azman, optimis bakal dipilih mewakili negara ke temasya ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 pada Ogos ini.

Katanya, dia yakin mampu mencuri satu tempat dalam skuad senior andainya mampu mempamerkan aksi cemerlang ketika beraksi di Kejohanan Tenpin Boling Remaja Dunia 2018, di Amerika Syarikat (AS) pada akhir bulan depan.

"Saya percaya peluang untuk mewakili Malaysia ke Sukan Asia masih ada untuk atlet muda seperti saya, jika kami menunjukkan prestasi cemerlang dalam pertandingan bertaraf antarabangsa.

"Justeru, saya akan berusaha melakukan yang terbaik seperti menang podium Kejohanan Boling Remaja Dunia di AS untuk mencerahkan peluang mewakili Malaysia dalam acara individu dan berpasukan," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Nur Amirah berkata dia meletakkan sasaran peribadi untuk menang podium dalam acara individu dan berpasukan di Kejohanan Tenpin Boling Remaja Dunia itu.

"Kami kena berusaha bersungguh-sungguh untuk menang sebanyak mungkin pingat di kejohanan berkenaan kerana ia boleh dijadi platform terbaik untuk diserapkan ke skuad boling senior Sukan Asia 2018.

"Perkara itu bukan satu perkara mustahil kerana sebelum ini saya menang perak di Kejohanan Boling Remaja Asia pada tahun lalu," katanya.

Nur Amirah bakal berdepan saingan pemain senior seperti Shalin Zulkifli, Sin Li Jane, Esther Cheah, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan untuk dipilih ke Sukan Asia 2018 nanti.

Berita Harian X