Isnin, 21 Mei 2018 | 10:56am
AARON Wise ceria selepas meraih gelaran pertama Jelajah PGA Amerika Syarikat di Kejohanan Golf Byron Nelson. - Foto AFP
AARON Wise ceria selepas meraih gelaran pertama Jelajah PGA Amerika Syarikat di Kejohanan Golf Byron Nelson. - Foto AFP
AARON Wise ketika melakukan pukulan pada final Kejohanan Golf Byron Nelson. - Foto AFP
AARON Wise ketika melakukan pukulan pada final Kejohanan Golf Byron Nelson. - Foto AFP

Kemenangan sulung Wise di Byron Nelson

Kemenangan sulung Wise di Byron Nelson

LOS ANGELES: Aaron Wise meraih gelaran pertama Jelajah PGA Amerika Syarikat hari ini apabila melakukan enam birdie untuk enam pukulan bawah par 66 seterusnya memenangi Kejohanan Golf Byron Nelson dengan tiga pukulan mengatasi pemain Australia, Marc Leishman.

Pemain berusia 21 tahun itu yang memulakan saingan terikat selaku pendahulu dengan Leishman, mengambil peluang sepenuhnya dengan keadaan lapangan yang baik dekat Trinity Forest selepas terganggu selama empat jam akibat faktor cuaca.

Pada edisi pertama kejohanan di lakaran baharu par-71 selatan Dallas itu, catatan keseluruhan 23 bawah par Wise untuk keseluruhan 261 memecahkan rekod lama 19 bawah par 261 dilakukan Rory Sabbatini pada par-70 TPC Four Seasons dekat Irving pada 2009.

Trinity Forest, lakaran lapangan tanpa pokok atau kolam, menawarkan peluang birdie apabila hujan.

Wise memulakan aksi dengan dua birdie pada lubang keempat dan kelima.

Dia kemudian mencipta birdie empat kali berturut-turut bermula lubang tujuh hingga 10 seterusnya peluang mencipta kemenangan pada sembilan lubang terakhir - dengan soalan paling memberi tekanan sama ada dia boleh menamatkan saingan sebelum gelap.

"Ia menakjubkan," kata Wise yang mencipta karier terbaik di Jelajah PGA dengan kedudukan kedua dua minggu lalu dekat Quail Hollow yang memberikannya lebih keyakinan.

"Peliknya saya rasa tenang sepanjang hari," kata Wise, juara kolej NCAA 2016 yang sudah bermain 18 kali di jelajah. 

"Dan bermain baik seperti yang saya lakukan, tiada bogey, hari ini menakjubkan." - AFP

Berita Harian X