Sabtu, 5 Mei 2018 | 4:59pm
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (lima dari kanan) bersama kesemua ahli jawatankuasa tertinggi yang baru dilantik selepas perhimpunan agung tahunan ke-37. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (lima dari kanan) bersama kesemua ahli jawatankuasa tertinggi yang baru dilantik selepas perhimpunan agung tahunan ke-37. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ini 'dream team' saya - Norza

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengakui gandingan muka baharu dan lama yang terpilih adalah 'dream team' yang diperkatakannya sebelum ini.

Jelasnya, gabungan muka baharu dan lama itu membabitkan campuran yang bagus untuk memimpin MOM bagi penggal 2018-2021 selepas selesai perhimpunan agung tahunan ke-37 hari ini.

"Saya percaya inilah 'dream team' yang dimaksudkan. Saya mahukan sebuah pasukan yang harmoni, tiada individu yang lebih besar daripada pasukan," jelasnya. 

Norza tidak dicabar ketika tamat tarikh pencalonan pada 24 April lalu dan secara rasmi mengambil alih pucuk kepimpinan daripada Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar hari ini manakala Pengerusi Insitutut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi terpilih sebagai Timbalan Presiden MOM.

Dua muka lama Naib Presiden, Datuk Paduka Mumtaz Begum Abdul Jaffar dan Datuk Ong Poh Eng berjaya mempertahankan jawatan dengan tiga muka baharu melengkapkan barisan kepimpinan.

"Saya berjanji akan melaksanakan urus tadbir yang baik dan telus dalam MOM.

"Kita perlu segera bekerja dengan Sukan Asia yang semakin hampir selain menyediakan blue print dengan mengambil kira pandangan persatuan sukan kebangsaan dan pihak berkepentingan lain dalam membantu atlet negara meraih emas pertama di Olimpik," tambahnya.

Malah beliau menegaskan akan terus memegang jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana sukan berkenaan penting dalam perancangan meraih emas sulung negara di Olimpik 2020 Tokyo.

Pada masa sama, Norza turut mengumumkan Tunku Imran sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup MOM dan akan mengiktiraf sumbangan bekas Penolong Setiausaha Agung, Datuk Sieh Kok Chi.

"Malah hari ini adalah satu kebanggaan kepada saya, anak kepada pasangan guru untuk mengetuai MOM ketika mereka bergelar presiden sebelum ini mempunyai jawatan politik dan kerabat diraja," tambahnya.

Berita Harian X