Ahad, 29 April 2018 | 1:53pm
SCOTT Brown mencatat birdie dan berada satu pukulan di depan pada pusingan ketiga kejohanan Klasik Zurich hari ini. - Foto AFP
SCOTT Brown mencatat birdie dan berada satu pukulan di depan pada pusingan ketiga kejohanan Klasik Zurich hari ini. - Foto AFP
SCOTT Brown (depan) bersama gandingannya Kevin Kisner. - Foto AFP
SCOTT Brown (depan) bersama gandingannya Kevin Kisner. - Foto AFP

Brown, Kisner rampas posisi pendahulu

LOS ANGELES: Scott Brown mencatat birdie dan berada satu pukulan di depan bersama gandingannya Kevin Kisner pada pusingan ketiga kejohanan Klasik Zurich hari ini.

Birdie berkenaan, pertama buat Brown selepas melakukannya pada lubang keempat membolehkan naib juara 2017 itu untuk mencatat lapan di bawah par 64 dalam acara fourball untuk mengumpul 20 di bawah par 196 keseluruhan.

"Ia pencapaian yang baik," kata Brown.

"Saya tidak mempamerkan aksi terbaik hari ini dan Kevin pula cemerlang sekali lagi."

Kisner mengumpul tujuh daripada 10 birdie buat pasukan ketika kedua-duanya cuba mengatasi dua bogey pada sembilan lubang terakhir di TPC Louisiana.

"Bola bergolek dengan baik di kawasan green dan pukulan putt saya menjadi sepanjang minggu ini," kata Kisner.

Pendahulu semalam Michael Kim dan Andrew Putnam mengumpul 66 pukulan untuk berkongsi tangga kedua dengan 197 pukulan bersama Tony Finau dan Daniel Summerhays, yang melakukan 63 pukulan pada pusingan itu.

Brice Garnett dan Chesson Hadley, selepas mencatat 11 di bawah par 61, ketinggalan satu pukulan untuk 198 keseluruhan dengan tiga lagi pasukan terikat dengan 199 pukulan.

Billy Horschel  dan Scott Piercy turut bergandingan untuk  61 pukulan begitu juga rakan senegara dari Amerika Syarikat Jason Dufner dan Pat Perez.

Turut mengumpul 199  pukulan adalah pemain AS Troy Merritt dan gandingannya dari Zimbabwe Brendon de Jonge selepas melakukan 62 pukulan. - Reuters

Berita Harian X