Selasa, 24 April 2018 | 9:49pm
DATUK Low Beng Choo sedia mempertahankan jawatannya pada pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada 5 Mei nanti. - Foto OWEE AH CHUN
DATUK Low Beng Choo sedia mempertahankan jawatannya pada pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada 5 Mei nanti. - Foto OWEE AH CHUN

Beng Choo harap terus diberi mandat

 

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo sedia mempertahankan jawatannya pada pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada 5 Mei nanti.

Kerusi panas yang disandang Beng Choo bagi penggal 2015-2017, bakal dicabar Datuk Mohd Nafizuddin Mohd Najib yang kini adalah Naib Presiden MOM.

Beng Choo mendapat empat pencalonan daripada persatuan sukan kebangsaan manakala Nafizuddin mendapat dua pencalonan.

"Ini adalah sistem demokrasi, saya menawarkan diri untuk terus memberi sumbangan kepada MOM. Saya terbuka (pertandingan)," kata Beng Choo.

"Saya berharap persatuan sukan kebangsaan terus memberikan sokongan terhadap usaha dan kerja yang saya lakukan pada penggal lalu selain sebagai Naib Presiden sebelum ini."

Menurutnya, dia mahu meneruskan beberapa perubahan yang dilakukan selain tidak sabar untuk bekerjasama dengan pasukan yang baharu, diketuai oleh Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

"Tahniah kepada beliau (Norza), kita perlu berkerja keras kerana Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar sudah meletakkan MOM di tahap yang tinggi.

"Apa yang penting bagi sebuah organisasi adalah kerjasama berpasukan," katanya.

Berita Harian X