Isnin, 19 March 2018 | 6:57pm
ATLET gimnastik wanita negara melakukan sesi latihan di Dewan Gymnastik, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil bagi persediaan awal sebelum berlepas ke Sukan Komanwel di Gold Coast Australia. - Foto Zulfadhli Zulkifli
ATLET gimnastik wanita negara melakukan sesi latihan di Dewan Gymnastik, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil bagi persediaan awal sebelum berlepas ke Sukan Komanwel di Gold Coast Australia. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Tiada sasaran pingat di Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Jurulatih gimnastik artistik wanita negara, Ng Shu Wai mengambil jalan selamat dengan tidak meletakkan sebarang sasaran pingat pada Sukan Komanwel di Australia bagi memastikan fokus atlet tidak terjejas. 

Bagaimanapun gimnas negara tetap berpeluang untuk melakukan kejutan andai apa yang dirancang menjadi kenyataan. 

Pada temasya di Gold Coast nanti, Malaysia mempertaruhkan barisan pemenang pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur yang diketuai gimnas berpengalaman Farah Ann Abdul Hadi, Tan Ing Yeh, Tracie Ang dan Nur Azira Aziri.

Shu Wai yang pernah menyumbangkan pingat perak di Sukan Asia Doha 2006 dalam acara melombol dan perak di Sukan Komanwel Melbourne juga pada tahun sama dalam acara senaman lantai berkata, apa yang penting beliau mahu anak buahnya mara ke peringkat akhir dulu. 

"Dalam gimnastik apa saja boleh berlaku. Biarpun anda juara dunia tidak semestinya anda akan meraih emas. Jika terjatuh semua akan berubah. Peluang untuk pingat mungkin hanya dapat diketahui jika layak ke final.

"Tapi saya yakin mereka mampu untuk melakukan sesuatu kerana prestasi mereka berbanding empat tahun lalu sudah meningkat," katanya yang menjangkakan gimnas dari Australia dan New Zealand beraksi ketika menyertai Kejohanan Piala Dunia di Melbourne, Februari lalu. 

Sebagai seorang yang berpengalaman beraksi di temasya itu, Shu Wai berkata, beliau sering kali memberi motivasi kepada atlet supaya tahap keyakinan itu dapat digilap.

"Keyakinan mereka itu ada tapi tidak cukup. Jika ada peluang mereka perlu usaha dapatkan dan jangan lepas begitu saja.

"Jadi psikologi itu sangat penting dan kena kuat lagi," katanya yang turut meraih perak dalam acara senaman lantai ketika temasya Komanwel Manchester 2002. 

 

Empat tahun lalu di Glasgow skuad wanita negara menduduki tempat kelapan dalam acara berpasukan manakala Farah menamatkan saingan individu keseluruhan di tangga ke-11. 

Bagaimanapun kejayaan Tracie dan Ing Yueg meraih emas ketika Piala Dunia di Ljubljana, Slovenia 2016 memberi sinar buat skuad gimnastik artistik wanita negara. 

 

Shu Wai menjadi atlet terakhir dalam acara gimnastik artistik yang meraih pingat di temasya berkenaan apabila menyumbangkan perak pada Komanwel 2006 di Melbourne.

Berita Harian X