Khamis, 22 Februari 2018 | 9:25pm
TARIKH sesi pendengaran bagi penerjun negara, Wendy Ng yang didapati positif doping pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu masih belum diketahui. - Foto fail
TARIKH sesi pendengaran bagi penerjun negara, Wendy Ng yang didapati positif doping pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu masih belum diketahui. - Foto fail

Sesi pendengaran Wendy masih belum diketahui

KUALA LUMPUR: Tarikh sesi pendengaran bagi penerjun negara, Wendy Ng yang didapati positif doping pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu masih belum diketahui.

Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen berkata, Persatuan Renang Antarabangsa (FINA) sebelum ini meminta Wendy untuk ke Switzerland bagi menjalani sesi pendengaran itu.

"Wendy membuat permohonan kepada FINA supaya sesi pendengaran itu dilakukan menerusi sidang video, whatsapp atau apa juga dari sini kerana ia memakan belanja besar untuk pergi ke sana (Switzerland). 

"Kini kami hanya perlu menunggu dari FINA untuk memaklumkan kepada Wendy bila sesi pendengaran itu akan berlangsung," katanya yang ditemui selepas sesi Majlis Institut Sukan Negara (ISN) bersama Persatuan Sukan Kebangsaan di sini, hari ini.

Mengenai status Wendy bersama skuad kebangsaan, Mae Chen berkata, badan induk itu sudah meminta Wendy untuk memberi fokus kepada Sukan Asia 2018 di Indonesia selepas keputusan mengenai kes dopingnya masih belum diketahui. 

"Kami memberitahunya supaya fokus kepada Sukan Asia dengan harapan pada masa itu kesnya sudah selesai," katanya.

Buat masa ini, Mae Chen berkata, Wendy tidak menyertai sesi latihan bersama skuad kebangsaan mahu pun sebarang kejohanan sehinggalah keputusan dibuat.

Dua pingat emas acara 3 meter papan anjal individu dan seirama yang diraih Wendy pada Sukan SEA Ogos lalu ditarik balik selepas penerjun itu didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine.

Wendy yang pernah menyertai Sukan Olimpik 2012 London dan 2016 Rio, sudah pun ditarik dua pingat emas acara 3 meter papan anjal individu dan seirama yang dimenanginya pada Sukan SEA Ogos lalu selepas penerjun itu didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine. 

Berita Harian X