Isnin, 5 Februari 2018 | 10:16am
WOODLAND bersama trofi dimenangi.
WOODLAND bersama trofi dimenangi.

Woodland juara Terbuka Phoenix

LOS ANGELES: Gary Woodland mencatat tiga birdie dari empat lubang terakhir sebelum menewaskan Chez Reavie dengan par pada lubang playoff pertama untuk menjuarai Kejohanan Jelajah PGA Amerika Syarikat Terbuka Phoenix.

Woodland mencatat sembilan birdie untuk tujuh di bawah par 64 di TPC Scotssdale dan mendahului dengan 18 di bawah par 266 keseluruhan.

Namun Reavie merapatkan jurang dengan birdie berturut-turut untuk pertembungan kalah mati.

Kemenangan itu menyaksikan Woodland menjulang gelaran Jelajah PGA AS ketiga dan yang pertama sejak 2013.

"Sudah lima tahun saya menanti dan akhirnya ia menjadi milik saya," kata Woodland.

"Saya membuat pukulan putt awal, memberi sedikit keyakinan dan terus bermain dengan baik sehingga ke akhirnya."

Woodland, 33, memulakan saingan hari itu tiga pukulan di belakang pendahulu 54 lubang, Rickie Fowler.

Brendan Steele dan Ollie Schniederjans berkongsi tangga ketiga dengan 269 pukulan keseluruhan. Juara kejohanan utama lima kali Phil Mickelson, yang juga wira Arizona melakukan 69 pukulan untuk berkongsi 270 keseluruhan dengan tiga lagi pemain.

Fowler pemain nombor tujuh dunia pula melakukan 73 pukulan untuk berkongsi tangga ke-11 dalam kumpulan yang turut disertai pemain nombor dua dunia Jon Rahm dari Sepanyol. - AFP

Berita Harian X