Selasa, 30 Januari 2018 | 6:07pm
PELUMBA menamatkan perlumbaan dari Shah Alam ke Kuala Kubu Bharu pada hari ke 4 Tour de Selangor. - Foto Eizairi Shamsudin
PELUMBA menamatkan perlumbaan dari Shah Alam ke Kuala Kubu Bharu pada hari ke 4 Tour de Selangor. - Foto Eizairi Shamsudin

Doping: Shahrul diberi masa dua minggu untuk merayu

KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohammed Shahrul Afiza Fauzan, masih boleh mengemukakan rayuan meringankan hukuman penggantungan empat tahun yang dijatuhkan Jawatankuasa Anti-Doping, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), semalam.

Hukuman itu berkuat kuasa mulai 19 Oktober 2017 hingga 18 Oktober 2021 selepas Shahrul Afiza didapati bersalah menggunakan bahan terlarang 'anabolic steroid' (kategori S1) ketika menyertai Tour De Selangor (TdS), pada 19 Oktober 2017.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, Shahrul Afiza hanya boleh membuat rayuan dalam tempoh dua minggu bekerja selepas pelumba TLDM berkenaan menerima keputusan rasmi kes dopingnya daripada PKBM.

"Selepas menerima keputusan rasmi PKBM, Shahrul Afiza boleh mengemukakan rayuan rasmi kepada kami dalam tempoh dua minggu dengan mengemukakan justifikasi mengenai kehadiran steroid didalam sampel A yang diambil ketika menyertai TdS 2017.

"Kita membuat keputusan menggantung Shahrul selama empat tahun selepas dia gagal hadir untuk memberi penjelasan kepada panel pendengaran kes dopingnya yang bersidang semalam, malah dia juga memutuskan untuk tidak membuka sampel B bagi menyangkal dakwaan kehadiran steroid dalam sampel ujian air kencingnya, sebelum ini.

"Bagi kami, itu (ujian sampel B) adalah hak Shahrul. Ini bermakna dia mengakui terdapat kandungan bahan terlarang yang terdapat dalam ujian air kencingnya, sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Semalam, Shahrul Afiza digantung empat tahun oleh PKBM kerana didapati bersalah menggunakan bahan terlarang jenis anabolic steroid (kategori S1) ketika menyertai TdS, pada 19 Oktober 2017.

Keputusan itu diambil selepas panel pendengaran anti doping mendapati Shahrul gagal memberi penjelasan wajar dan alasan munasabah mengenai kehadiran bahan terlarang dalam sampel A yang dihantar untuk ujian makmal di New Delhi, India.

Malah, panel kes doping yang bersidang juga kurang berpuas hati dengan jawapan bertulis diberikan oleh pelumba itu mengenai alasan kenapa dia perlu mengambil bahan terlarang menerusi surat yang dihantar kepada PKBM sebelum ini.

Difahamkan, pelumba pasukan berstatus kelab itu diuji positif pada peringkat ketiga perlumbaan dari Shah Alam ke Pandan Indah yang berlangsung pada 19 Oktober lalu.

Berita Harian X