Ahad, 28 Januari 2018 | 11:33am
TIGER Woods berjaya melengkapkan pusingan ketiga Terbuka Farmers Insurance dengan catatan dua bawah par 70, semalam. - Foto AFP
TIGER Woods berjaya melengkapkan pusingan ketiga Terbuka Farmers Insurance dengan catatan dua bawah par 70, semalam. - Foto AFP

Woods bergelut hari ketiga di Torrey Pines

LA JOLLA, Amerika Syarikat: Tiger Woods tampil dengan permainan kurang memuaskan tetapi pemenang 14 gelaran utama itu berjaya melengkapkan pusingan ketiga Terbuka Farmers Insurance dengan catatan dua bawah par 70, semalam.

"Saya tidak melakukan pukulan yang memuaskan sepanjang hari," kata Woods yang bermain dalam Jelajah PGA AS buat pertama kali sejak Ogos 2015.

"Saya bergelut di sini, cuba untuk mencari rentak yang mengingatkan saya dengan hayunan golf.

PEMAIN golf AS, Tiger Woods bergelut untuk cuba mencari rentak dalam Jelajah PGA AS buat pertama kali sejak Ogos 2015. - Foto AFP
PEMAIN golf AS, Tiger Woods bergelut untuk cuba mencari rentak dalam Jelajah PGA AS buat pertama kali sejak Ogos 2015. - Foto AFP

"Tetapi saya mencatat mata. Saya melakukan chip, put. Cuba keluar daripada situasi yang sukar," katanya mengulas permainannya di Torrey Pines, lapangan yang pernah menghadiahkan dirinya lapan gelaran termasuk gelaran utama ke-14 di Terbuka AS 2008.

Beberapa pukulan yang baik di kawasan green, empat birdie dan beberapa kali menyelamatkan put menyaksikan Woods menamatkan hari ketiga dengan catatan keseluruhan tiga bawah par 213, ketinggalan lapan pukulan di belakang pendahulu, Alex Noren dari Sweden.

Noren yang juga pemenang sembilan kali Jelajah Eropah melakukan eagle pada jarak 11 meter pada lubang keenam, dan selepas melakukan bogey berganda pada lubang ke-12, dia bangkit dengan tiga birdie pada enam lubang terakhir.

Ia termasuk dua pukulan dua birdie pada lubang ke-18 untuk menamatkan pusingan tiga bawah par 69 dan keseluruhan 11 bawah par 205.

AKSI pemain Sweden, Alex Noren bangkit dengan tiga birdie pada enam lubang terakhir di Terbuka Farmers Insurance. - Foto AFP
AKSI pemain Sweden, Alex Noren bangkit dengan tiga birdie pada enam lubang terakhir di Terbuka Farmers Insurance. - Foto AFP

"Saya dapat melakukan sepusingan dengan tiga bawah par, dan saya gembira dengannya," kata Noren.

"Saya banyak melakukan pukulan di kawasan green. Melakukan kesilapan di lubang ke-12 dengan bogey berganda.

"Ia lubang yang sukar tetapi berganda dirasakan agak teruk selepas pukulan terdahulu. Jadi saya gembira untuk kembali bangkit."

Ketinggalan satu pukulan di belakang Noren ialah pendahulu hari pertama, Ryan Palmer yang mencatat keseluruhan 206 manakala penyandang juara, Jon Rahm yang sedang memburu ranking pertama dunia Dustin Johnson berkongsi tangga ke-12, ketinggalan empat pukulan di belakang. - AFP

Berita Harian X