Sabtu, 27 Januari 2018 | 10:35am
TIGER Woods melakar birdie pada lubang terakhir semalam untuk melengkapkan sembilan lubang terakhir di kejohanan Terbuka Farmers Insurance. - Foto AFP
TIGER Woods melakar birdie pada lubang terakhir semalam untuk melengkapkan sembilan lubang terakhir di kejohanan Terbuka Farmers Insurance. - Foto AFP

Birdie terakhir 'selamatkan' Woods

LA JOLLA, Amerika Syarikat: Tiger Woods melakar birdie pada lubang terakhir semalam untuk melengkapkan sembilan lubang terakhir yang menyelamatkannya daripada penyingkiran ketika kembali menyertai Jelajah PGA AS di kejohanan Terbuka Farmers Insurance.

Juara kejohanan utama 14 kali itu bertarung mendapatkan empat birdie pada sembilan lubang terakhir di Lapangan Utara di Torrey Pines, mencatat satu di bawah par 71.

Ia sudah memadai buatnya untuk melepasi penyingkiran, iaitu pencapaian pertama buatnya sekal Kejuaraan Wyndham pada Ogos 2015 di mana dia berkongsi tangga ke-10.

Sejak itu Woods bergelut mengatasi masalah sakit belakang yang menyebabkannya tidak dapat beraksi sepanjang 2016.

Ia kejohanan rasmi pertamanya sejak tersingkir di sini tahun lalu sewaktu cuba untuk kembali beraksi namun kemudiannya menjalani pembedahan tulang belakang pada April.

"Saya berjuang di lapangan golf hari ini," kata Woods.

"Saya berjuang bermati-matian. Saya berusaha mendapatkan mata yang akhirnya berjaya saya lakukan."

Woods ketinggalan 10 pukulan selepas aksi 36 lubang di belakang pemain AS Ryan Palmer, yang mencatat lima di bawah par 67 untuk mengumpul 11 di bawah par 133 keseluruhan.

Juara bertahan dari Sepanyol Jon Rahm, yang mungkin merampas ranking nombor satu dunia dari Dustin Johnson sekiranya menang, mencatat enam di bawah par 66 untuk berada di tempat kedua dengan 134 pukulan keseluruhan. - AFP

Berita Harian X