Sabtu, 6 Januari 2018 | 11:06pm
DATUK Sieh Kok Chi menegaskan bukan kemestian buat ASUM untuk mengikuti jejak FINA yang menaungi pelbagai disiplin dalam akuatik di peringkat dunia. - Foto fail
DATUK Sieh Kok Chi menegaskan bukan kemestian buat ASUM untuk mengikuti jejak FINA yang menaungi pelbagai disiplin dalam akuatik di peringkat dunia. - Foto fail

Kes FINA, ASUM berbeza - Kok Chi

KUALA LUMPUR: Datuk Sieh Kok Chi menegaskan bukan kemestian buat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) untuk mengikuti jejak Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) yang menaungi pelbagai disiplin dalam akuatik di peringkat dunia.

Bekas Setiausaha Kehormat ASUM itu berkata alasan untuk beberapa disiplin dalam akuatik diletakkan di bawah FINA adalah bagi memastikan kemasukan sukan berkenaan di pentas Olimpik.

"Saya dimaklumkan alasan utama bagi sukan akuatik ditimbangkan di bawah satu bumbung iaitu FINA adalah kerana dengan melakukannya, empat disiplin dijamin tempatnya dalam Program Sukan Olimpik, di bawah sukan yang wajib iaitu renang," kata Kok Chi.

"Dalam kata lain, jika polo air berpisah daripada FINA, kemungkinan mereka untuk digugurkan daripada Program Sukan Olimpik adalah besar.

"Jadi penyelesaian untuk mengelak daripada terkeluar daripada Program Sukan Olimpik adalah bagi polo air (atau disiplin lain) menjadi satu badan berasingan di peringkat kebangsaan, tetapi kekal di bawah renang atau akuatik di peringkat antarabangsa.

"Perjanjian ini berjalan dengan baik, tanpa sebarang isu, bagi negara-negara yang sudah menggunakan jalan penyelesaian ini."

Kok Chi berkata banyak negara yang bagus dalam akuatik memiliki badan induk yang berbeza dalam pelbagai disiplin di peringkat kebangsaan.

Beliau yang juga bekas pemain polo air negara menyokong kuat idea untuk memisahkan lima disiplin dalam akuatik - renang, renang perairan terbuka, renang seirama, terjun dan polo air - bernaung di bawah satu persatuan yang ketika ini bersama ASUM.

Berita Harian X