Khamis, 4 Januari 2018 | 8:51pm
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar akan umum tidak pertahan jawatan pada Jun depan. - Foto fail
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar akan umum tidak pertahan jawatan pada Jun depan. - Foto fail

Tunku Imran tak menyesal

KUALA LUMPUR: Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata beliau tidak menyesal melepaskan jawatan yang disandangnya selama 20 tahun selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Menurut Tunku Imran, beliau gembira meninggalkan MOM yang disifatkan berada dalam keadaan lebih kukuh berbanding ketika mengambil tugas berkenaan daripada Tan Sri Hamzah Abu Samah pada 14 November 1998.

Tunku Imran yang kini berusia 68 tahun mengumumkan pada akhir tahun lalu, beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada Mesyuarat Agung Tahunan MOM serta pemilihan, Jun depan.

"Masih ada banyak kerja yang belum diselesaikan tetapi ia berterusan bukan? Ia sama seperti apabila Tan Sri Hamzah berhenti, kami perlu meneruskan (kerjanya)," kata Tunku Imran.

"Saya langsung tidak menyesal melepaskan jawatan. Saya amat gembira yang saya meninggalkan sukan (Malaysia) yang secara umum berada dalam keadaan lebih baik berbanding ketika saya memulakan tugas sebagai Presiden MOM, 20 tahun lalu.

"Saya berfikir kedudukan kewangan MOM juga berada dalam keadaan yang paling baik. Arah haluan sukan di Malaysia turut positif.

"Tetapi kita semua tahu ia akan menjadi lebih baik, beberapa sukan boleh menjadi lebih baik dan itulah yang berlaku. Pada akhirnya, ada begitu banyak faktor yang perlu dipertimbangkan.

"Setiap sukan berbeza, kamu tidak boleh menyamakannya apabila ia membabitkan pembangunan... tetapi ada beberapa perkara asas yang semua orang patut tahu."

Tunku Imran yang turut menjawat jawatan sebagai Presiden Sukan Komanwel dan Sukan SEA begitupun terus menekankan mengenai kepentingan pembangunan akar umbi di negara ini.

"Ia sentiasa kembali ke akar umbi, jika sukan itu tidak wujud di peringkat akar umbi, di mana kamu akan mendapat atlet yang terbaik dalam tempoh jangka panjang?

"Kecuali jika persatuan sukan negeri dan kebangsaan terus mengembangkan atlet muda dari peringkat akar umbi, mereka tidak akan mampu menghasilkan juara dunia secara tetap.

"Ia adalah sesuatu yang semua orang faham, jangan lupakan akar umbi anda apabila anda membangunkan sukan."

Tunku Imran secara terbuka menyokong timbalannya, Datuk Seri Norza Zakaria sebagai calon sesuai untuk mengambil alih tugasnya di MOM.

Berita Harian X