Isnin, 11 Disember 2017 | 10:31pm
GAVIN Kyle Green muncul rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran Order of Merit Jelajah Asia. - Foto file
GAVIN Kyle Green muncul rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran Order of Merit Jelajah Asia. - Foto file

Gavin menang Order of Merit Jelajah Asia

KUALA LUMPUR: Gavin Green bergelar rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran Order of Merit Jelajah Asia.

Juara Taiwan Masters itu yang akan berusia 24 tahun pada 28 Disember ini, memastikan kemenangan miliknya apabila menamatkan saingan terikat di tangga ke-18 pada Terbuka Joburg dekat Afrika Selatan.

Dia melakukan 70-67-70-70 pukulan, dengan jumlah keseluruhan empat hari, 10 bawah par 277.

Gavin yang juga pemenang tiga kali Jelajah Pembangunan Asia (ADT), meraih gelaran itu dengan pungutan hadiah kemenangan AS$585,813 (RM2.39 juta) selepas bermain dalam 17 kejohanan sepanjang musim.

Pemain Amerika Syarikat, David Lipsky kedua dengan jurang AS$124,634 (RM507,666).

Pengesahan itu hadir kurang satu kejohanan daripada penutup musim Jelajah Asia 2017 yang akan diadakan di Jakarta iaitu Masters Indonesia bermula 14-17 Disember ini.

Kejohanan sama menyaksikan pemain India, Shubhankar Sharma menjadi pemain Asia pertama menang di Terbuka Joburg pada usia 21 tahun serta penampilan pertamanya di Afrika Selatan yang menyaksikannya layak secara automatik ke The Open dekat Carnoustie dari 19-22 Julai depan.

Shubhankar melakukan 23 bawah par 264, tiga pukulan mengatasi Erik Van Rooyen (20 bawah par 267) dan Shaun Norris (17 bawah par 270) masing-masing pada pusingan kedua dan ketiga.

Berita Harian X