Khamis, 26 Oktober 2017 | 2:44pm
PENERJUN Negara, Wendy Ng Yan Yee disahkan mengambil bahan terlarang jenis sibutramine selepas sampel B yang uji di makmal Agensi Anti Doping Dunia di New Delhi pada 11 Oktober lalu positif.
PENERJUN Negara, Wendy Ng Yan Yee disahkan mengambil bahan terlarang jenis sibutramine selepas sampel B yang uji di makmal Agensi Anti Doping Dunia di New Delhi pada 11 Oktober lalu positif.

Wendy sah ambil sibutramine

KUALA LUMPUR: Tanda tanya siapakah atlet negara yang gagal ujian doping ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu kini terjawab apabila Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan atlet itu adalah Wendy Ng Yan Yee.

Wendy disahkan mengambil bahan terlarang jenis sibutramine selepas sampel B yang uji di makmal Agensi Anti Doping Dunia di New Delhi pada 11 Oktober lalu turut positif.

Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chan ketika ditemui bagaimanapun menegaskan konflik yang berlaku itu tidak mengganggu kelancaran penganjuran Kejohanan Terjun Grand Prix Kuala Lumpur yang bermula esok.

"Keputusan itu kami terima pagi tadi dan atlet itu adalah Wendy.

"Saya sudah berbincang dengan Exco ASUM dan satu sidang media akan diadakan dalam tempoh terdekat ini untuk memaklumkan tindakan selanjutnya.

"Hingga itu saya tidak boleh memberi sebarang komen lanjut," katanya.

Mae turut memaklumkan keputusan ujian itu juga akan dihantar kepada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) dan hukuman akan ditentukan selepas sesi pendengaran diadakan.

Dalam perkembangan sama Mae berkata, hingga hari ini beliau masih lagi tidak menghubungi Wendy dan tiada sebarang maklum balas diterima daripada atlet itu.

Pada temasya KL2017 yang lalu, Wendy berjaya meraih dua emas iaitu dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita dan 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri.

Berita Harian X