Sabtu, 7 Oktober 2017 | 6:09pm
PRESIDEN ASUM, Datuk Seri Shahidan Kassim (tiga dari kanan) selepas mempengerusikan mesyuarat khas ASUM di Sri Pacific Hotel. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PRESIDEN ASUM, Datuk Seri Shahidan Kassim (tiga dari kanan) selepas mempengerusikan mesyuarat khas ASUM di Sri Pacific Hotel. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

ASUM sahkan atlet terjun guna sibutramine

KUALA LUMPUR: Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan atlet terjun wanita negara yang gagal ujian doping ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu mengambil bahan terlarang jenis sibutramine.

Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, badan induk itu sudah menghubungi atlet terbabit dan setakat ini, atlet berkenaan sudah memohon kepada Jawatankuasa Anti Doping Sukan SEA 2017 untuk ujian semula ke atas sampel B.

"Panel Disiplin ASUM bermesyuarat hari ini bagi membincangkan dua kes yang berlaku. Pertama, kes doping yang membabitkan seorang atlet ASUM, iaitu atlet dalam kontinjen Malaysia di KL2017.

"ASUM sudah menerima surat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang memaklumkan mengenai keputusan ujian doping atlet itu dan disahkan positif sibutramine berdasarkan ujian doping ketika KL2017.

"Kami sudah menghubungi atlet itu dan dia minta sampel B diuji," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama Panel Disiplin ASUM dua kes membabitkan sukan ini di Hotel Seri Pacific, hari ini.

Shahidan menjelaskan, mengikut prosedur yang selaras dengan peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), nama serta identiti individu itu tidak boleh didedahkan sehinggalah sampel B diuji.

Berikutan itu, Shahidan menegaskan ASUM juga tidak boleh melakukan sebarang tindakan lanjut sehingga Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) membuat keputusan.

Kes kedua ialah mengenai gangguan seksual jurulatih skuad terjun ke atas atlet negara dan Shahidan menegaskan, ASUM tidak boleh mengulas lanjut malah tidak dapat membincangkan kes terbabit kerana ia masih di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kami bersetuju dengan tindakan yang mengecualikan jurulatih serta atlet terbabit daripada program latihan terjun kebangsaan," katanya yang menyokong kenyataan Kementerian Belia dan Sukan yang mahukan semua pihak memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat.

Selain itu, katanya ASUM juga menyokong penubuhan jawatankuasa khas menyiasat kes berkenaan serta tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) yang menggantung tugasan jurulatih itu sehingga siasatan selesai.

Sebelum ini, media melaporkan seorang atlet terjun wanita negara gagal ujian doping yang dijalankan ketika KL2017, manakala penerjun itu pula adalah pemenang pingat emas temasya yang sama ketika membantu Malaysia berjaya bersih 13 pingat emas ditawarkan.

Difahamkan, seorang jurulatih terjun negara ditahan kerana disyaki merogol atlet terjun wanita di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini pada 26 September lalu.

Berita Harian X